berita

Mahu Fokus Jadi Pelajar, Diana Danielle Ambil Keputusan Berlakon Separuh Masa

February 5th, 2024 | by Hazirah
Kini Trending

Pelakon jelita, Diana Danielle mendedahkan dirinya sudah hilang motivasi setelah lebih 20 tahun berada dalam industri hiburan. Oleh sebab itu, dia memutuskan untuk menyambung pelajaran.

Artikel Berkaitan: Diana Danielle Ambil A-Level & Diploma Serentak, Jadi Pembakar Semangat Kepada Netizen Untuk Timba Ilmu

Berani melakukan pembaharuan

Memetik laporan Berita Harian, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat A Level dan diploma memandangkan dua orang anaknya, Muhammad dan Aurora sudah semakin besar.

Tambahnya lagi, memandangkan usianya sudah 32 tahun, dia menjadi lebih berani untuk melakukan pembaharuan terhadap dirinya.

Sesiapa pun kalau buat benda sama lebih 20 tahun, pastinya rasa jemu. Kalau mula bekerja pada usia 20 tahun dan kini, sudah masuk 50 tahun, mungkin saya sudah boleh bersara.

Jadi, saya rasa takkan ini sahaja yang saya boleh buat. Saya bertanya pada diri sendiri. Takkan saya tak boleh nak teroka apa yang diri saya boleh buat bukan hanya bidang hiburan sahaja.

Mungkin dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pelbagai lagi.

Sebab pada usia 30-an ini kita boleh buat keputusan berisiko. Kalau usia 20-an masih mentah, jadi inilah masa untuk saya jadi lebih berani untuk lakukan pembaharuan.

Diana berkata, kedua- dua bidang pengajiannya itu memberi manfaat untuk masa hadapan di mana dia mengambil subjek kimia, biologi dan psikologi untuk peringkat A-Level dan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI).

Kedua-dua bidang ini beri manfaat untuk apa yang mahu dilakukan dalam masa hadapan.

Sebenarnya saya tak tahu apa yang saya mahu buat dalam usia 40-an. Jadi, saya mula ambil langkah untuk perancangan masa hadapan.

Untuk itu, saya perlu sambung pengajian. Seperti jurusan Pengurusan Perniagaan pastinya saya tubuhkan dan kawal syarikat dengan baik.

‘Saya lebih fleksible’

Pelakon drama ‘Raisha’ itu memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membahagikan masa sebagai seorang pelajar dan pelakon.

Itulah keindahan belajar sendiri. Bila perlu bekerja atau ada projek, saya boleh susun masa.

Saya lebih fleksibel, selagi boleh siapkan tugasan saya. Insya-Allah, saya boleh buat dan tak mahu tunda sebab orang lain pun kerja juga.

Dalam pada itu, Diana mendedahkan dia berasa seronok kerana berpeluang untuk menyambung pelajaran tanpa perlu membuktikan kepada siapa-siapa.

Malah, dia juga membuat keputusan untuk menyambung pelajaran kerana mahu memperbaiki diri dan mencari ilmu bagi menaik taraf hidupnya.

Saya seronok sebab dulu mungkin saya buat untuk ibu bapa dan masyarakat. Sudah habis Sijil Pelajaran Malaysia, kena sambung belajar, kawan-kawan pun ramai sambung belajar.

Sekarang saya tak perlu nak buktikan apa-apa. Saya hanya buat untuk diri sendiri dan motivasi itu datangnya daripada niat mahu perbaiki diri dan mencari ilmu bagi menaik taraf hidup.

Sebab bila sudah dewasa kita ada pemahaman yang lebih dengan apa yang kita nak buat.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu mendedahkan dia ada menerima tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dari tiga universiti.

Walau bagaimanapun, dia lebih memilih untuk bermula dengan A Level dan diploma kerana mahu mengambil masa dan lebih memahami tentang ilmu yang dipelajarinya.

Saya tidak terkejar-kejar nak buktikan apa-apa. Mungkin ada orang ambil ijazah untuk buktikan sesuatu, tapi saya mahu mengambil masa dan berseronok dengan fasa belajar.

Sebenarnya bukan soal diploma atau ijazah, cuma saya mahu pastikan memahami ilmu yang dipelajari.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×