berita

Majlis Pelancaran Kempen Mencarum PERKESO, Sasar Lebih Ramai Sukarelawan Mendaftar Dengan PERKESO.

June 7th, 2022 | by Syamirul
Kini Trending

Menerusi Majlis Pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Untuk Sukarelawan yang telah dilancarkan, lebih 50,496 orang sukarelawan daripada tujuh buah agensi Kerajaan telah mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) hari ini.

Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya dan PERKESO bersama agensi-agensi kerajaan lain yang disenaraikan dalam inisiatif SPS khidmat di bawah Bajet 2022.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dan disaksikan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah, Pengerusi Lembaga PERKESO dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO berserta wakil-wakil daripada agensi Kerajaan yang terlibat.

Jom kita tengok apa matlamat utama kempen ini dijalankan!

Simpanan untuk masa depan!

Menerusi kempen ini, ia dapat meningkatkan kesedaran golongan sukarelawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial.

Bukan itu je, ia juga menggalakkan mereka untuk mencarum dengan PERKESO untuk kegunaan masa depan bak kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.

Antara agensi kerajaan yang disenaraikan dalam SPS khidmat ialah :

  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
  • Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
  • Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Secara keseluruhannya, seramai 136,000 Orang Bekerja Sendiri (OBS) disasarkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi inisiatif SPS khidmat, sepanjang tahun ini.

Sasar empat kumpulan utama OBS!

Menerusi inisiatif ini, kerajaan Malaysia telah menyediakan pembiayaan sepenuhnya carumaan keselamatan sosial bagi empat kumpulan sasaran Orang Berkerja Sendiri (OBS) iaitu, sukarelawan agensi kerajaan, pekhidmat rumah ibadat Islam, penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan anggota yang berstatus Contract for Service bagi sector awam.

Berdasarkan statistik PERKESO sehingga 28 Mei 2022, seramai 346,313 atau lebih kurang 14 peratus Orang Bekerja Sendiri (OBS) di seluruh negara telah mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berbanding jumlah keseluruhan Orang Bekerja Sendiri (OBS) di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 2.38 juta.

PERKESO juga telah berjaya membayar lebih RM6.4 juta kepada seramai 3,370 penerima faedah dalam kalangan Orang Bekerja Sendiri (OBS) sehingga hari ini. Hebat kan!

Jumlah tersebut termasuk seramai 405 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris Orang Bekerja Sendiri (OBS) bagi kes yang melibatkan kematian semasa manjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Untuk maklumat lanjut korang boleh ke laman web PERKESO atau Facebook mereka.

SKIP THIS AD ×