Masih hangat diperkatakan kontroversi kecurangan pelakon Aliff Aziz seperti mana didakwa isterinya, Bella Astillah menerusi Instagram akaun rasminya, semalam. Meskipun, pelakon Oktovia Manrose telah tampil memohon maaf namun, perkara ini tidak sebegitu mudah diterima Bella Astillah.
Menerusi laporan Metro Online, Bella Astillah menyifatkan permohonan maaf dari pelakon Dosa Itu Bukan Miliknya sebegitu mudah dibuat dan menasihati Oktovia agar lebih sensitif dalam hal ini.
Begitu mudah permohonan maaf
Permohonan maaf dari Oktovia Manrose telah dibuat olehnya dan dimuatnaik menerusi IG Story. Bagaimanapun, Bella menyifatkan pelakon itu perlu lebih sensitif terhadap perkara ini kerana dia juga pernah berkahwin dan memiliki anak.
Selepas apa yang dia buat dengan suami saya, begitu mudah permohonan maaf itu dikeluarkan. Permohonan maaf itu ditulis di IG Story. Apa boleh dikatakan, saya tahu kesalahan mereka. Dan apa yang saya muat naik di IG semalam cukup kuat untuk mendedahkan perlakuan mereka di belakang saya.
Macam Oktovia, dia patut faham perasaan saya sebab pernah berkahwin dan ada anak. Saya ramai juga kawan perempuan yang bermasalah dengan suami, tapi tidak sampai tahap mahu berjumpa lelaki lain. Apa mereka buat adalah jumpa kawan perempuan dan kongsi.
Saya tunjuk bukti video itu, dia terdiam
Menurut Bella lagi, dia baru berjumpa dengan suaminya itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai bukti rakaman video yang dikirim kepadanya.
Saya mahu berjumpa mereka berdua. Tetapi, Via menolak. Jadi, saya hanya jumpa Aliff. Pada mulanya, dia masih ingin menegakkan benang basah dan menafikan semua dakwaan saya.
Namun, selepas saya menunjukkan bukti video itu, dia terdiam. Dia tidak tahu mahu cakap apa lagi selain minta maaf. Dia mengaku bersalah dan sedar perbuatannya itu salah.
Memang sudah tawar hati
Tambah Bella, tujuan dia berjumpa Aliff Aziz hanya ingin menunjukkan bukti rakaman selepas dicabar suami. Dalam pertemuaan itu juga tidak membincangkan mengenai masa depan rumah tangga mereka.
Soal perkahwinan kami, Aliff tidak cakap apa-apa pun. Macam saya sendiri, sejujurnya saya memang sudah tawar hati. Saya reda saja apa yang berlaku selepas ini.
Saya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT. Saya hanya mampu berdoa dan diberikan petunjuk yang terbaik.
Mungkin secara luaran saya nampak lemah, tetapi tidak. Malah, mereka silap jika beranggapan sedemikian. Apa yang berlaku ini, Tuhan nak tunjuk kepada saya. Saya kalau boleh tidak mahu hidup dalam penipuan, cukuplah.
Saya takkan buang status itu
Bella terlalu kecewa setelah mengetahui mengenai hal ini dan selama ini dia hanya bertahan disebabkan keluarga suami yang terlalu baik. Malah, dia juga tidak pasti sama ada ingin memberi peluang seterusnya atau tidak dalam memperbaiki hubungan mereka.
Apabila melihat video ini, sebagai isteri tentu saja hati terluka dan sedih. Pedih rasanya apabila suami sekali lagi mengkhianati kepercayaan dan peluang diberikan. Malah, sebagai manusia biasa saya tidak boleh cakap boleh maafkan atau takkan maafkan. Perkara ini akan ambil masa. Apa saya boleh katakan, hanya mampu berdoa supaya diberikan yang terbaik.
Saya anggap ini pengajaran terbesar dalam hidup dan perkahwinan kami. Saya berasa seperti ditikam belakang kerana baik dengan Via ketika dia mula berlakon dengan suami. Saya juga masih tidak boleh hadam ayat yang dihantar ketika ditanya adakah dia menjalin hubungan dengan suam.
Saya takkan buang status itu. Saya berfikir banyak kali sebelum memuat naik. Saya tidak berasakan ia tindakan salah atau terburu-buru. Malah, saya masih berfikir dan sedang berbincang dengan keluarga sama ada mahu memuat naik bukti video di IG atau tidak.
Sumber: Metro