Hubungan akrab antara pelakon Fizz Fairuz dan Almy Nadia bukanlah isu yang baru dalam dunia hiburan tanah air. Namun begitu, ketika bertemu di pelancaran filem “Hantu Kapcai” semalam, Fizz Fairuz telah memaklumkan kepada pihak media bahawa hubungannya dengan Almy Nadia masih lagi baik dan tiada sebarang masalah.
“Saya dengan Almy masih lagi berkawan dan tiada apa-apa masalah dengan dia. Kami masih lagi berhubung dan bertanya khabar antara satu sama lain” ujar Fizz Fairuz.
Di samping itu, Fizz turut memaklumkan yang dia telah serik untuk bercerita mengenai isu perkahwinan. Namun begitu, Fizz akui yang dirinya kini tiada sebarang masalah untuk memberikan komitmen dalam perkahwinan dan dirinya juga sudah bersedia ke arah tersebut. Cuma buat masa sekarang, Fizz tidak mahu memeningkan kepalanya dengan isu-isu tersebut dan dia hanya berserah sahaja kepada jodoh.
“Saya masih muda, baru 32 tahun. Jadi sekarang ini saya tidak mahu fikir lagi soal kahwin dan Almy pun Ok dengan hal tersebut. Lagipun dua-dua bebas untuk bergaul dengan sapa-sapa dan saya tidak mahu terikat dengan apa-apa. Saya tak nak pening-pening kepala, ada rezeki, ada jodoh kahwin, tak ada saya terima,” ujar Fizz sambil tersenyum.
Selain isu antara dirinya dan Almy, Fizz turut berkongsi beberapa pengalaman yang dia lalui sewaktu proses penggambaran filem “Hantu Kapcai” tahun lalu, di mana pelakon kacak ini telah mengalami jangkitan kuman pada matanya dan mengakibatkan dirinya kurang fokus sepanjang proses penggambaran tersebut.
Jangkitan mata yang dialami oleh Fizz berlarutan selama sebulan lebih dan sepanjang proses penggambaran, dia terpaksa menahan sakit tersebut. Palakon ini turut akui yang dia terpaksa gagahkan diri untuk menyiapkan segala babak lakonan dan memberikan yang terbaik untuk filem Hantu Kapcai ini.
Sewaktu mengalami jangkitan mata ini, Fizz akui yang dia ada mengamalkan satu petua yang dikongsi oleh salah seorang pelakon senior, di mana dengan meletakkan sedikit air kencing di bahagian mata yang sakit.
“Petua yang diajar adalah, ambil air kencing yang pertama pagi-pagi, lepastu selawat tiga kali dan sapu dekat bahagian mata yang sakit. Saya amalkan tiga hari berturut-turut dan memang nampak berkesan tapi proses dia tu lambat,” ujar Fizz sambil tergelak.
Selain mengamalkan petua air kencing, Fizz turut menjalankan rawatan susulan dengan doktor dan rawatan tersebut berlarutan sehingga proses penggambaran selesai. Berpunca daripada jangkitan ini, Fizz telah berehat selama tiga bulan bagi memastikan matanya benar-benar pulih sepenuhnya.
Untuk perkembangan terbaru, Fizz turut berlakon untuk beberapa filem lagi iaitu “Kahwin 5” dan “Mat Tudung”. Kedua-dua filem ini bakal ditayangkan pada tahun ini juga, tetapi belum diketahui bilakah tarikh sebenar tayangan filem tersebut.