berita

Media Prima Catat Untung RM23.4 Juta

November 25th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM23.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFY21), memperbaiki kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM36.2 juta dalam tempoh perbandingan (9MFY20).

Hasil kumpulan meningkat sebanyak 8% kepada RM804.3 juta pada 9MFY21 berbanding RM743.5 juta pada 9MFY20, didorong oleh hasil pengiklanan yang lebih kukuh oleh Media Prima Omnia, iaitu bahagian jualan Kumpulan.

Catat keuntungan

Segmen penyiaran Media Prima mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berjumlah RM41.0 juta pada 9MFY21 berbanding RM17.1 juta pada 9MFY20 disebabkan peningkatan perolehan sebanyak RM326.0 juta, yang juga merupakan lonjakan 32% berbanding tempoh dalam perbandingan. Perolehan daripada jualan kandungan kreatif turut meningkat kepada RM29.1 juta pada 9MFY21 daripada RM8.7 juta pada 9MFY20, hasil daripada kolaborasi Kumpulan dengan platform-platform penstriman popular

Perolehan daripada bahagian digital Kumpulan, REV Media Group (REV Media’) meningkat sebanyak 10% kepada RM66.6 juta pada 9MFY21 berbanding pada 9MFY20, didorong oleh peningkatan perolehan pengiklanan sebanyak 11%. Perniagaan penerbitan Kumpulan, yang diwakili oleh The New Straits Times Press (NSTP), mencatatkan keuntungan RM532,000 pada 9MFY21 berbanding kerugian RM26.9 juta pada 9MFY20. Perolehan NSTP menurun 8% pada 9MFY21 terutamanya disebabkan oleh jualan akhbar yang lebih rendah, namun disokong oleh pertumbuhan hasil daripada unit percetakan dan pengedaran akhbar sebanyak 49% kepada RM14.4 juta pada 9MFY21 berbanding 9MFY20.

Bagi segmen perdagangan Kumpulan, perolehan WOWSHOP pada 9MFY21 kekal stabil, biarpun menurun sedikit kepada RM217.0 juta berbanding RM230.9 juta pada 9MFY20. WOWSHOP akan terus bekerja rapat dengan Omnia untuk menyediakan pakej-pakej yang merangkumi gabungan ruang masa siaran komersial dan perdagangan untuk pelanggan.

Kekal momentum terbaik

Media Prima juga mengumumkan keputusan untuk tiga bulan berakhir 30 September 2021 (3QFY21), mencatatkan keuntungan suku tahunan yang kelima berturut-turut sejak 3QFY20. Kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM6.6 juta pada 3QFY21 daripada PAT sebanyak RM11.8 juta dalam tempoh perbandingan. Perolehan Kumpulan menurun sebanyak 4% kepada RM257.3 juta pada 3QFY21 berbanding RM268.8 juta pada 3QFY20. Biarpun berhadapan cabaran bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, Kumpulan terus mengekalkan kedudukannya pada suku tahunan.

Jualan kandungan kreatif Kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM8.3 juta pada 3QFY21 berbanding 3QFY20, didorong oleh strategi pengedaran kandungan kreatif Media Prima dengan platform-platform penstriman popular. Perolehan pengiklanan untuk 3QFY21 menguncup sedikit, iaitu kurang daripada 1% berbanding 3QFY20.

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima, berkata, Kumpulan telah melalui perjalanan yang jauh untuk mencatat keuntungan suku tahunan kelima berturut-turut sejak 3QFY20, dipacu oleh pertumbuhan stabil dalam perolehan pengiklanan. Trajektori hasil pengiklanan memberi keyakinan bahawa Kumpulan telah membuat keputusan yang betul dengan penubuhan Omnia yang telah menyepadukan platform-platform dan jenama-jenama popular Kumpulan sebagai sebahagian daripada penyelesaian media untuk para pengiklan.

Kami kekal yakin dengan prestasi Kumpulan memandangkan perbelanjaan pengiklanan yang meningkat semula. Dengan situasi Covid-19 yang semakin stabil di Malaysia dimana lebih banyak negeri yang sedang memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara, kami berupaya memberi yang terbaik untuk para pelanggan dan penonton kami. Masih banyak yang akan kami laksanakan untuk mengekalkan momentum ini dan kami akan terus berusaha dengan lebih gigih sambil memastikan kecekapan operasi.

Encik Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, berkata, Kumpulan menamatkan suku ketiga dengan sekali lagi merekodkan keputusan kukuh walaupun berhadapan dengan tekanan pasaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Perolehan daripada pengiklanan, cetakan dan pengedaran akhbar serta jualan kandungan kreatif terus berkembang manakala perolehan segmen perdagangan kekal stabil walaupun persaingan global semakin meningkat.

Kami juga gembira melihat tanda-tanda pemulihan di seluruh perniagaan Kumpulan, seperti NSTP yang mencatatkan keuntungan dua suku tahunan berturut-turut. Kami adalah Kumpulan media terkemuka berdasarkan jumlah audiens yang menggunakan peranti mudah alih dan kami juga berada di kedudukan ketiga di Malaysia berdasarkan jumlah capaian audiens digital. TV3 kekal sebagai saluran televisyen terkemuka Malaysia dan antara 10 saluran yang teratas di platform YouTube dari segi jumlah pelanggan dan tontonan video di Malaysia. Dalam pengedaran kandungan kreatif, rancangan terbitan kami adalah antara yang paling banyak ditonton di platform-platform penstriman di Malaysia. Sekiranya semua berjalan lancar, kami yakin bahawa Kumpulan akan meraih hasil pada skala yang lebih besar tahun depan berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah kami laksanakan.

Kami sentiasa menitikberatkan aspek nilai kemanusiaan dan akan terus memanfaatkan pelbagai platform dan capaian yang menyeluruh untuk membantu rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan. Ini merangkumi inisiatif-inisiatif terbaru daripada WOWSHOP dan Media Prima Audio yang mengumpul dana bagi kempen Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP Bantuan Kemanusiaan Covid-19 bagi membantu hospital-hospital kerajaan.

Media Prima Audio membantu individu-individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menerusi bantuan kewangan dan hadiah penghargaan kepada para petugas barisan hadapan. Harian Metro juga bekerjasama dengan Hijrah untuk membantu kumpulan B40 di Lembah Kelang yang menghadapi masalah sosio-ekonomi melalui sumbangan ‘Kotak Rezeki Harian Metro’. Untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana bangkit daripada kesan pandemik Covid-19, Omnia melancarkan platform OmniaUSB yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memperkasakan perniagaan dengan penyelesaian perniagaan dan kursus-kursus pembangunan. Media Prima kekal komited terhadap kesejahteraan sosial-ekonomi di Malaysia sebagai sebahagian daripada misi Kumpulan untuk menjadi warga korporat yang bertanggungjawab.

SKIP THIS AD ×