berita

Media Prima Lantik Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Baharu

October 1st, 2021 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad mengumumkan pelantikan Encik Rafiq Razali sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Encik Rosli Sabarudin sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan berkuatkuasa 1 Oktober 2021.

Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Rafiq mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pembangunan perniagaan dan perancangan strategik. Rekod prestasinya termasuklah dalam penubuhan dan penskalaan syarikat-syarikat permulaan (start up) berkaitan digital dan teknologi maklumat.

Transformasi digital

Encik Rafiq menyertai Media Prima pada 15 April 2016 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan REV Media dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan pada 18 Februari 2021. Beliau berjaya memimpin Media Prima menjadi antara syarikat media digital yang unggul di Malaysia dengan menyatukan strategi digital Kumpulan dan meluaskan capaian digital serta aset-asetnya.

Encik Rafiq memulakan kariernya di Maxis Berhad dengan memegang beberapa jawatan penting di bahagian Perniagaan Antarabangsa dan Strategi Korporat. Pada tahun 2011, Encik Rafiq menyertai Groupon Malaysia, dan dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Besar Negara bagi Malaysia pada tahun 2013 selepas mencatatkan pencapaian konsisten yang mantap. Pada tahun 2015, Encik Rafiq adalah pengasas bersama KFit (kini dikenali sebagai Fave), sebuah syarikat permulaan Malaysia yang beroperasi di rantau Asia Pasifik. Fave baru-baru ini telah dimiliki oleh sebuah syarikat teknologi kewangan (FinTech) yang unggul di rantau ini. Encik Rafiq juga kini adalah seorang mentor Endeavor.

Kumpulan juga mengumumkan pelantikan Encik Rosli sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan. Encik Rosli menyertai Media Prima pada tahun 2012 dan skop tanggungjawab beliau termasuklah sebagai Pengawal Kewangan kepada Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios. Encik Rosli memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat CJ Wow Shop (kini dikenali sebagai WOWSHOP), sebuah syarikat usahasama Media Prima dan Bahagian Beli-belah, syarikat CJ ENM O dari Korea Selatan. Beliau dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan pada 24 April 2020 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kumpulan, Bahagian Kewangan (Laporan Kewangan, Sistem dan Operasi). Encik Rosli memulakan kariernya di Tenaga Nasional Berhad dengan memegang pelbagai jawatan selama 14 tahun perkhidmatan bersama TNB dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Kewangan, TNB Remaco.

Kepimpinan baru

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan, Media Prima, berkata ini merupakan masa yang sesuai untuk memberi laluan kepada pasukan kepimpinan baru.

Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Encik Rafiq sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Encik Rosli sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan. Kedua-dua mereka telah memainkan peranan penting dalam memacu prestasi positif Kumpulan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Encik Rafiq telah menerajui usaha-usaha transformasi Kumpulan dan telah memainkan peranan utama dalam penambahbaikan operasi serta inisiatif-inisiatif pendigitalan di kesemua platform media kamisejak tahun 2016. Beliau juga telah meletakkan Media Prima sebagai peneraju industri tempatan dalam dunia digital. Beliau mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan operasi perniagaan Kumpulan dan juga telah menerajui syarikat-syarikat permulaan digital dan perdagangan yang berjaya. Dengan ini, kami yakin Encik Rafiq adalah calon paling sesuai untuk memimpin Media Prima menuju kejayaan seterusnya.

Mengulas berkenaan pelantikan Encik Rosli sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian berkata Encik Rosli mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perakaunan, kewangan dan pengurusan dalam industri utiliti dan media.

Kekuatan utamanya adalah kecenderungan beliau dalam penambahbaikan proses dan rekayasa semula (reengineering). Beliau telah memainkan peranan penting dalam beberapa inisiatif transformasi utama Kumpulan sejak menyertai Media Prima. Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan beliau yang mendalam dengan operasi Kumpulan, kami percaya Encik Rosli akan memberi sumbangan besar kepada Media Prima.

SKIP THIS AD ×