berita

Media Prima Mulakan Pelan Tindak Balas Perintah Kawalan Pergerakan

March 18th, 2020 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad hari ini dalam satu kenyataan media memaklumkan telah memulakan Pelan Tindak Balas Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Langkah ini adalah sebagai respons dan sokongan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan yang diumumkan pada 16 Mac 2020.

Utamakan kakitangan

Sebagai satu daripada penyedia perkhidmatan yang penting kepada negara, Media Prima akan mengimbangi kewajipannya ini dengan tanggungjawab terhadap aset utamanya, iaitu kakitangan. Pelan Tindak Balas MCO Media Prima akan dilaksanakan di seluruh Kumpulan, meliputi operasi penggiliran kerja di lokasi (rotational on-site operation) dan operasi maya (virtual operation), serta operasi secara bersela di lokasi (on-site split teams operations).

Semua langkah ini dilaksanakan dengan matlamat untuk mengurangkan risiko pendedahan COVID-19 kepada kakitangan Media Prima dan juga usaha mengamalkan jarak sosial (social distancing) demi kebaikan semua.

Sebelum COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik, Kumpulan telah pun melaksanakan beberapa langkah berjaga-jaga di premisnya, ini termasuklah kekerapan mengambil suhu badan kesemua kakitangan dan pelawat, meletakkan cecair sanitasi tangan di lokasi-lokasi strategik, meningkatkan pembersihan dan sanitasi harian pejabat serta melaksanakan sekatan perjalanan kakitangan.

Komited sedia kandungan berkualiti

Langkah-langkah tersebut dan langkah-langkah lain yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Tindak balas MCO akan memastikan Media Prima dapat terus menjalankan kewajipannya sebagai penyedia perkhidmatan penting dalam menyampaikan berita terkini perkembangan COVID-19 dan berita-berita penting yang memberi kesan kepada negara melalui saluran beritanya.

Audiens Media Prima juga akan terus menikmati kandungan-kandungan yang berkualiti di semua platform media Kumpulan, yang akan terus beroperasi tanpa gangguan semasa tempoh ini.