berita

Media Prima Untung RM59 Juta Bagi Tahun Kewangan 2018

February 28th, 2019 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia mengumumkan mencatat keuntungan selepas cukai RM59 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, berbanding kerugian RM668.7 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan itu dicapai menerusi kejayaan kepelbagaian perolehan selain strategi meringankan aset selari dengan misi transformasi kumpulan.

Perolehan digital meningkat

Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh keuntungan sekali menerusi penyelesaian perjanjian jualan dan pajak semula berjumlah RM133.1 juta. Ketika industri media terus berdepan dengan cabaran akibat lanskap ekonomi semasa, pelaburan digital dan perdagangan Media Prima merekodkan pertumbuhan positif dalam 2018.

Perolehan digital dan perdagangan pada tahun kewangan meningkat 76 peratus kepada RM301 juta dan ini mengimbangi penurunan perolehan daripada segmen perniagaan tradisional seperti dicatatkan oleh prestasi kewangan Media Prima yang lebih baik pada tahun itu.

Perolehan kumpulan menyusut satu peratus pada 2018, berbanding penurunan tujuh peratus pada 2017. Pencapaian dan perolehan pengiklanan digital terus berkembang di seluruh platform Media Prima. Perolehan digital meningkat kepada RM87.9 juta dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sebelumnya, menekankan kejayaan dalam strategi digital yang meliputi kerjasama pintar dan pengambilalihan strategik.

Kejayaan kerjasama & strategi

Sorotan utama kepada transformasi Media Prima pada 2018 adalah segmen beli belah di rumah. Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) CJ Wow Shop menjana jualan jualan keseluruhan RM213.1 juta pada 2018, meningkat 65 peratus daripada RM129.5 juta sebelumnya. Kerjasama Media Prima dengan YouTube menghasilkan keputusan yang signifikan, apabila saluran kumpulan menyaksikan peningkatan dalam jumlah tontonan kepada 1.1 bilion pada tahun kewangan 2018.

 

Dalam penerbitan digital pula, REV Asia Holdings (REV Asia) mengambil alih 25 peratus pemilikan dalam Monster Scape Sdn Bhd, pemilik dan penerbit portal berita sosial berbahasa Cina, TanTanNews, sekali gus mengukuhkan kedudukan dominan dalam komuniti milenial berbahasa Cina di negara ini. Strategi terbabit juga membolehkan kumpulan mengatasi Google dan Facebook sebagai pilihan popular kandungan mudah alih dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan data daripada syarikat penilaian media dan analitik berpejabat di Amerika Syarikat (AS), Comscore Mobile Metrix Top 100 Properties, bagi bulan Disember 2018, Media Prima berada dalam kedudukan teratas dengan 13.60 juta pelawat unik di Malaysia, meningkat 62 peratus daripada Disember 2017.

Fokus digital & perdagangan

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata peningkatan dalam prestasi kewangan membuktikan impak positif pelan transformasi Media Prima.

Kami percaya inisiatif pada tahun kewangan 2018 berjaya membina asas yang kukuh untuk meneroka pertumbuhan baharu perolehan dan peluang pada 2019.

Melihat ke depan, kami akan kekal fokus untuk meraih kelebihan kompetetif dalam segmen digital dan perdagangan, di samping memantau rapat kecekapan operasi yang menjadi sebahagian daripada strategi kami untuk meningkatkan nilai pemegang saham.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid pula berkata prestasi kukuh itu juga menunjukkan inisiatif transformasi sudah mula meningkatkan margin kumpulan dan mengimbangi kerugian daripada segmen tradisional.

Jika dikecualikan perkara luar biasa, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai yang lebih rendah sebanyak 42 peratus.

Kami percaya dengan operasi sebagai kumpulan aset ringan dan pada masa sama sebagai peserta utama dalam landskap tradisional dan digital, ia memberi kami lebih ketangkasan dan daya saing untuk berkembang pantas dalam sektor pertumbuhan utama.

SKIP THIS AD ×