Penyanyi Zizi Kirana berkongsi pengalaman ketika berada dalam tahanan rejim Zionis semasa menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Pun Tak Ada Kekuatan Macam Zizi Kirana’ – Yusuf Bahrin

Artikel Berkaitan: ‘Mereka Sebut See You In Jail, Saya Orang Last Akan Lempar Telefon’ – Ardell Aryana

Berpanas dengan keadaan melutut

Menerusi temu bual bersama Astro Awani, Zizi mendedahkan dia telah dibiarkan berpanas selama satu jam lebih dalam keadaan melutut ketika menunggu giliran untuk berdepan pihak imigresen.

Kata Zizi, dia juga dihalang untuk membaca al-Quran malah dipaksa untuk membuka stokin, kasut dan tudung.

Saya bersama dengan penganjur saya dibiarkan berpanas berjemur selama satu jam lebih dengan keadaan melutut. Masa itu saya pakai topi, dia suruh buka.

Saya nak tenangkan diri nak mengaji.. dia ambil al-Quran, tarik dan tanya apa ini? Saya cakap ini adalah al-Quran. Dia suruh simpan dalam beg.

Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stokin, kasut. Saya buka kasut tapi tak nak buka stokin. Mereka tak bagi, kena juga buka. Saya cakap tak boleh sebab haram (dedah aurat).

Dia paksa saya buka tudung. Saya cakap tidak. It’s haram, I’m the Muslim. Mereka tetap cakap ‘no.’ Saya pegang juga tudung sambil mereka dah tarik bahagian belakang. Saya cakap ‘no.’

Sampaikan kawan-kawan saya yang bukan beragama Islam pun menangis. Mereka jerit cakap ‘be strong’ (terus kuat). Saya masih ulang cakap ‘no! it’s haram.’

Masa itu saya berdoa, ‘Ya Allah kau berikanlah balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat kepada seluruh umat Islam di dunia ini.’

Masa tudung ditarik ke belakang, mereka bawa ke satu ruangan yang mana di situ ada perempuan dia suruh buka semua. Saya ulang cakap ‘Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah’ sampai habis pemeriksaan.

‘Welcome to Israel’

Tambah Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, pihak imigresen menyambut kedatangannya dengan pertanyaan sama ada dia pernah datang ke Israel.

Malah, Zionis memberitahu mengenali dirinya menerusi media sosial TikTok dan Instagram.

Pergi ke imigresen dengan bangganya mereka cakap ‘Welcome to Israel, have you been to Israel?’

Saya dengan bangganya bercakap ‘Maybe you should see the font page my passport. You are not recognised in my country. ‘

Mereka cakap ‘haa’. Kemudian mereka cakap ‘I saw you on TikTok, on Instagram, famous!’

Dengan sinis saya senyum. Mereka cakap ‘no smiling.’ Saya tengok saja. Walaupun dalam hati rasa ‘Ya Allah, inilah orang-orang yang paling zalim di muka bumi ini yang aku kena hadap sekarang ini.’

Dalam pada itu, isteri kepada aktor Yusuf Bahrin berkata baju di bahagian dalam juga digunting oleh pihak Israel.

Saya tak tahu kenapa saya kena tarik ke sana sini. Sebelum saya naik bas, sekali lagi tudung saya ditarik. Masa itu saya betul selamatkan tudung sebab itu saja yang tinggal.

Baju saya di bahagian dalam digunting sebab tak nak ada baju lain. Nak ada satu baju saja.

Sumber: Astro Awani