Adibah Noor merupakan salah seorang artis yang lantang bersuara dengan memberi teguran dan pandangannya terhadap sesuatu senario. Terbaru, dia telah menegur sebutan Bahasa Inggeris yang diucapkan oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk sidang maya keenam, Sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York
Artikel berkaitan: ‘Tak Payah Sebut B Tu’ – Adibah Noor Betulkan Sebutan Rina Harun Dalam Video Ucapan PBB
Memetik laporan Harian Metro, Adibah Noor mengambil inisiatif memperbetulkan sebutan seorang menteri yang dilihat kekok memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris. Selain, ingin berkongsikan ilmu kepada umum cara sebutan yang betul menggunakan Bahasa Inggeris.
Kenapa perlu takut?
Menurut penyanyi Terlalu Istimewa ini, dia menyatakan niatnya menegur demi memperbetulkan Bahasa Inggeris kepada umum, selain kita semua dapat belajar bersama-sama.
Tujuan sebenar saya adalah untuk berkongsi ilmu. Kenapa perlu takut? Tak payahlah begitu. Memang ramai dalam kalangan rakan artis dan orang-orang yang mengenali saya, mereka takut nak bertutur dalam bahasa Inggeris sebab takut saya betulkan. Saya rasa perasaan takut itu sebenarnya bukan takut atau gerun, tapi sebab malu. Malu sebab kita tak tahu dan tak cukup ilmu.
Itu sebabnya saya tak betulkan semua sebab secara keseluruhannya, cara beliau menyampaikan ucapan itu dengan sebutan-sebutan walaupun tidak berapa betul, tapi ia boleh diterima kerana masih boleh difahami. Cuma satu perkataan itu yang saya betulkan kerana memang sebutannya salah. Itu saja…
Kita sama-sama belajar
Tambah Adibah Noor lagi, ketika bersekolah dulu pasti ada beberapa guru yang ditakuti pelajar. Oleh demikian, pelajar-pelajar pun jadi takut untuk mendekati guru tersebut dan belajar menyebut sebutan dengan betul.
Kita ada guru-guru yang menggerunkan. Sebab apa? Sebab dia garang dan tegas, kan? Tapi, kita dapat ilmu daripada dia. Kalau dia tidak tekankan sesuatu ilmu itu, sampai bila-bila kita tiada ilmu itu.
Jadi, tujuan saya adalah untuk kita sama-sama belajar. Untuk berkongsi apa yang saya tahu. Saya ini bukanlah handal sangat dalam bahasa Inggeris.
Saya berbuat demikian memang mahu ia viral, tapi bukan sebab saya nak popular. Apabila ia viral, kita senang nak ingat. Jadi, penyebaran ilmu itu lebih banyak dan luas.
Sumber: Harian Metro