Penyanyi Filipina, Moira Dela Torre memilih Malaysia sebagai lokasi yang pertama ‘Moira World Tour 2024‘ yang akan berlangsung hari ini di The Exchange Hall, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Konsert ‘Siti Nurhaliza Cinta Di Awan’ Bakal Berlangsung Ogos Ini Di Genting Higlands!
Artikel Berkaitan: Video Jelingan Tajam Pada Kru Di ‘Backstage’ Konsert Tular, Siti Nurhaliza Respon – ‘Masa Ini Boleh Tengok Saya Jadi Singa’
Suka budaya Malaysia
Menurut Moira, ini adalah kali kedua dia berkunjung ke Kuala Lumpur dan dia sangat teruja untuk berkongsi momen manis bersama peminat-peminat yang sudah lama menanti.
Ini merupakan konsert solo pertama saya di Malaysia. Sebelum ini, saya pernah datang ke Kuala Lumpur tetapi sekadar untuk melancong. Saya sempat makan nasi goreng dengan ais kacang (ABC).
Bagi saya, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk siri jelajah konsert saya amat tepat kerana saya rasa begitu dekat dengan peminat di sini.
Bahasa Melayu dan Tagalog juga tidak banyak beza dan saya suka dengan budaya yang ada di Malaysia.
Sepatutnya, Malaysia menjadi lokasi terakhir saya pada tahun lepas namun tidak dapat melakukannya atas sebab-sebab tidak mengizinkan. Jadi, kali ini, saya sangat teruja untuk beramah mesra dengan peminat.
Saya juga ingin merasai pelbagai makanan di sini. Saya juga akan pergi ke Sephora terbesar di Kuala Lumpur. Saya berhasrat untuk explore banyak tempat.
Dalam masa sama, Moira, 31, mengakui berasa gementar kerana dapat merasakan ekspektasi yang tinggi daripada peminat-peminat.
Sudah pasti ada rasa gemuruh untuk pertama kali bertemu peminat saya di Malaysia.
Ramai yang sudah lama menunggu terutama sejak tahun lalu. Pastinya ramai yang meletakkan ekspektasi yang tinggi untuk konsert kali ini.
Maira berkata demikian ketika majlis sidang media yang diadakan di Moxy Putrajaya, pada Khamis.
Peserta The Voice of the Phillipines
Bercerita mengenai titik permulaan perjalanan karier seni, wanita berasal dari Olongapo, Filipina berkata dia bermula sebagai penyanyi lagu runut bunyi, lagu tema iklan (jingle) dan kini sedang menempa nama di peringkat antarabangsa.
Segalanya bermula pada tahun 2013, di mana saya telah terpilih sebagai seorang peserta The Voice of the Phillipines. Saya telah melancarkan EP yang pertama dan kini telah memenangi pelbagai anugerah.
Antaranya anugerah ‘Most Streamed Filipina Artist’ yang sudah dipegang selama tujuh tahun berturut-turut dan ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan.
Setelah menempa nama di Filipina, kini nama saya telah meniti di bibir peminat antarabangsa menerusi lagu-lagu yang dicipta sendiri selama lebih dari 10 tahun. Kini, lagu-lagu saya telah mencecah lebih 1 Billion stream di aplikasi penstriman muzik Spotify.
Konsert yang akan bermula pada jam 8 malam ini dijangkakan akan berdurasi lebih dari 90 minit dengan 20 buah lagu yang akan dinyanyikan.
Moira World Tour 2024 akan diserikan dengan persembahan pembukaan oleh TJ dan penyanyi tempatan, Ismail Izzani.
Sekadar info, tiket mula dijual pada awal bulan Januari 2024 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Tiket yang berharga RM 333 dan VIP RM 555 masih boleh dibeli.