Sumber foto: Berita Kini
Baru-baru ini, rakyat Malaysia melancarkan kempen mengibarkan putih sebagai satu inisiatif dalam membantu mana-mana individu yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kempen tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai respon termasuklah dari Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menganggap mengibarkan bendera putih sebagai sebuah kekalahan.
Artikel berkaitan: Didakwa Seru ‘Masyarakat Angkat Tangan Berdoa, Bukan Angkat Bendera Putih’, Ini Respon Netizen
Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan dan mengeluarkan kenyataan isu kibar bendera putih sebagai syarat untuk memohon bantuan disebabkan PKP ini.
Perlu lihat dari 2 perspektif
Kredit foto: Kosmo
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan isu kibar bendera putih ini dalam dua situasi yang perlu dilihat. Pertamanya, boleh dilaksanakan sekiranya bertujuan meminta bantuan ketika kesusahan dan pihak tertentu juga boleh mengenalpasti individu yang kesusahan.
Kedua, perlu dielakkan mengibar bendera putih sekiranya perkara itu mengaibkan diri sendiri. Malah, buat ketika ini banyak pihak-pihak yang sedia menghulurkan bantuan dengan menyediakan nombor telefon mereka di platform media sosial sebagai inisiatif mengenalpasti orang yang kesusahan.
Hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut. Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.
Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan. Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa.
Bagi orang betul-betul kesempitan
Sehubungan dengan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan meminta orang ramai untuk tidak mempolitikkan mengenai isu kibar bendera putih ini memandangkan ramai rakyat sedang berdepan dengan kesusahan.
Meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan. Manakala hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.
Suasana pandemik sekarang ini adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang. Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan.
Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing. Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan.