Kerajaan negeri Kedah hari ini, mengarahkan supaya nama Mini Stadium Ffira Mikah diubah dengan nama yang lain susulan kecaman yang hebat diterima daripada warganet. Hal ini disebabkan, nama mini stadium itu ‘didakwa’ diambil sempena dengan nama seorang Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor.
Arah tukar nama
Lapor Berita Harian, Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang, berada di bawah kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dan dirasmikan oleh Hakim Ariff, pada tujuh Disember lalu, setelah dinaik taraf. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, pihaknya sama sekali tidak dimaklumkan akan pertukaran nama stadium berkenaan yang sekali gus telah membangkitkan kontroversi.
Apabila saya dapat tahu, saya sendiri hairan dengan nama itu, kita tidak dimaklumkan mengenai cadangan nama terbabit sebelum ini kerana ia di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT). Sepatutnya kita tidak perlu letak nama sebegitu kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat, bagaimanapun saya anggap perkara ini selesai kerana difahamkan nama stadium itu akan ditukar selepas ini.
Jelas Hayati lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah dinasihat untuk memilih nama tokoh sejarah di daerah itu bagi menggantikan nama yang sesuai dengan Ffira Mikah.
Reaksi warganet
Di media sosial, pelbagai respon negatif yang diterima susulan pemberian nama mini stadium itu. Tambahan pula, nama mini stadium itu seolah-olah menggunakan nama Hakim Ariff, cumanya ia diterbalikkan menjadi Ffira Mikah. Tidak berakhir di situ, ada juga yang mencadangkan nama yang jauh lebih layak bagi menggantikan nama stadium terbabit.
Menerusi penjelasan individu yang merasmikan mini stadium tersebut, menceritakan bahawa nama mini stadium itu diambil bersempena dengan bahasa Greek dan Arab. Perkataan ‘Ffira’ memberi maksud yang hebat, manakala ‘Mikah’ bersempena dengan nama malaikat. Jelasnya lagi, nama tersebut sama sekali tidak ada sebarang kaitan dengan namanya.
Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian & Twitter