Tahun 2024 bakal melabuhkan tirai hanya beberapa hari sahaja lagi. Tahun ini juga, dapat kita lihat ramai selebriti wanita mula tampil dengan mengenakan imej bertudung sepenuhnya.
Melihat perubahan positif mereka sangat menenangkan hati kerana tindakan itu satu keputusan yang tidak mudah untuk dilakukan.
Untuk edisi #OBWrapped24 kali ini, OhBulan! ingin senaraikan antara selebriti wanita Malaysia yang mula mengenakan imej bertudung sepanjang tahun ini.
1. Syasya Dolla
Bekas ahli kumpulan Dolla, Syasya Rizal mengejutkan para peminat fanatik mengumumkan penarikan dirinya daripada kumpulan itu pada April lalu.
Selepas mengumumkan telah berundur dari kumpulan Dolla, Syasya atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Shahrizal mencuri perhatian ramai dengan imej terbarunya yang bertudung.
Syasya juga difahamkan mengenakan imej bertudung kira-kira dua bulan sebelum melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya, Nasrullah.
Ujar Syasya, kehidupannya kini semakin tenang selepas berhijab.
Alhamdulillah tenang, sekarang ini pun ada suami saya yang banyak juga beri nasihat. Kadang-kadang kalau saya tak ada masa nak gosok tudung, dia yang tolong.
Terbaharu, penyanyi berusia 23 tahun itu baru sahaja melahirkan bayi sulungnya pada Isnin lalu.
2. Norreen Iman
Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman mula mengambil keputusan untuk mengenakan hijab pada Februari lalu.
Norreen yang pada ketika itu mula memuat naik foto dirinya bertudung memaklumkan dia sedang berusaha perlahan-lahan untuk mengubah penampilan dalam kehidupan sehariannya.
Pada ketika itu, Norreen juga mula memadam segala gambar dan video dirinya yang tidak berhijab di media sosial.
Tambah ibu kepada dua orang anak itu lagi, dia menitiskan air mata sewaktu memadam gambar-gambar tersebut kerana teringat akan memori lama namun tiada satu penyesalan dalam dirinya.
Segala gambar melibatkan kerja, kenangan, konten media yang (tidak bertudung) sudah saya padam.
Saya menangis sewaktu memadam semua gambar itu sebab rindu tapi tiada penyesalan.
Sekadar info, Norreen dan keluarganya ketika ini sedang berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah.
3. Ozlynn Waty
Pelakon, Ozlynn Waty berkongsi imej terbaharunya yang mengenakan tudung semenjak pulang daripada menunaikan ibadah haji pada Julai lalu.
Menurut Ozlynn, dia sebenarnya sudah mula berhijab seminggu sebelum mendapat tawaran menunaikan haji.
Seminggu sebelum dapat tawaran untuk tunai haji, saya pakai tudung ke kelas agama. Ketika itu saya rasa saya dah bersedia.
Kemudian dapat tawaran untuk pergi haji.
Tambah Ozlynn, rezeki dijemput menjadi tetamu Allah adalah titik permulaan kepadanya untuk menutup aurat.
Sebenarnya dah terdetik beberapa tahun lalu tapi saya rasa orang akan berkata, ‘esok-esok dia buka la tu’.
Bila dah pergi haji itulah penamatnya sebab haji adalah rukun islam yang kelima maknanya itu adalah ‘final call’ daripada Allah.
Kalau boleh memang dah tak nak (dedah aurat), dah bersedia untuk semunya.
4. Shasha Abedul
Pada Oktober, pelakon meningkat naik iaitu Shasha Abedul tampil mengenakan imej berhijab sewaktu menghadiri majlis tayangan perdana sebuah drama bersiri terbitan stesen televisyen swasta.
Kata Shasha, dia yang sudah sebulan mengenakan hijab pada ketika itu mengambil keputusan tersebut selepas timbul rasa bersalah ketika mahu memuat naik foto ‘free hair’ di laman sosial.
Jelasnya, penghijrahan itu dilakukan bukan untuk memuaskan hati manusia, tetapi merupakan perintah Allah.
Bercakap mengenai perasaan selepas bertudung, pelakon berusia 28 tahun ini berasa seperti ‘dilahirkan semula’.
5. Nora Danish
Pelakon jelita, Nora Danish mula menyorot perhatian warganet apabila dia berkongsi foto dirinya dengan imej bertudung di Instagram (IG) pada Jun lalu.
Difahamkan, Nora mula mengenakan imej bertudung selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri pada 19 Jun lalu.
Sementara itu, Nora turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus mendoakannya selepas tampil dengan imej berhijab.
Kata Nora, dia ingin mengabadikan perjalanan penghijarahan dalam kamus hidupnya.
Saya berterima kasih kepada netizen dan peminat yang sentiasa mendoakan dari dahulu sehingga saya berubah (berhijab) sekarang.
Saya bukan tiba-tiba bertudung, sebelum itu saya melalui fasa-fasa yang terusik dalam hati, dengan usia yang semakin meningkat dan menyertai kelas-kelas agama.
Kemudian ditimpa ujian bekas suami saya sakit, saya rasa sudah tiba masanya dan terbuka hati untuk berhijab.
Saya mahu simpan segala kenangan sepanjang proses hijrah dalam hidup, tidak akan dilupakan. Amat berharga untuk diri sendiri.
6. Raja Azura
Pengacara dan pelawak, Raja Azura memberitahu dia mengambil keputusan untuk bertudung selepas pulang mengerjakan ibadah haji, pada bulan Julai lalu.
Menurut Raja Azura, dia memakai tudung bukan kerana mahu kelihatan cantik sebaliknya adalah kerana Allah dan perubahan tersebut dilakukan atas pilihan sendiri.
Apabila sudah sampai waktu, kita berubah menjadi seorang yang lebih baik. Kita semua makin lama makin meningkat usia. Saya tidak seperti orang lain yang mendapat mimpi dibakar sebelum memilih untuk bertudung.
Saya lakukan dengan ikhlas kerana Allah dan sedar menutup aurat ini adalah tanggungjawab dan wajib kepada diri saya.
Berkongsi lanjut, selebriti yang mesra disapa Kak Engku itu memaklumkan dia sudah puas dengan imej yang digayakan sebelum ini dan berharap peminat mendoakan perkara yang baik kepada individu lain yang masih belum bertudung.
7. Kak Nona (Kakak Kak KM)
Kakak kepada usahawan dan pempengaruh, Kak KM iaitu Kak Nona juga mengambil keputusan untuk berhijab selepas dua minggu pulang dari menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
Bukan itu sahaja, anak kepada pelakon Normah Damanhuri ini turut memaklukan bahawa dia membuang segala koleksi pakaian yang kurang sesuai dengan imej terkini.
Bila niat nak pergi umrah, saya bercita-cita untuk berubah.
Selama dua minggu di Mekah elok saja jaga aurat, solat tak tinggal.
Kenapa bila balik tak boleh nak buat macam itu? Sedangkan Allah dah bagi apa yang kita mintak.
Saya dah buang koleksi-koleksi pakaian yang lama. Bila saya pandang pakaian lama, saya rasa sampai bila saya nak pakai sebegitu.
Penghijrahan Kak Nona ini turut mendapat perhatian Normah yang sangat bersyukur dengan penghijrahan anaknya itu.
Normah juga berharap agar penghijrahan Kak Nona berkekalan dan diikuti oleh adik beradik yang lain.