Ketua kumpulan band terkenal Indonesia, Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani menyifatkan pasukan orkestra Malaysia yang bakal mengiringi konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat jauh lebih baik di Indonesia.
Artikel Berkaitan: Ahmad Dhani Jumpa PM Hari Ini – ‘Saya Cadang Nak Jemput Ke Konsert Orkestra Dewa 19’
Masih baru di Indonesia
Ketika ditemui OhBulan!, Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo berkata, muzik orkestra merupakan satu perkara dan budaya yang baru diketengahkan di negara kelahirannya itu.
Kami belum sempat berlatih bersama tetapi saya sudah mendengar latihan mereka (kumpulan orkestra) dan pada pendapat saya mereka jauh lebih baik berbanding di Indonesia.
Pendapat saya itu berdasarkan pendengaran saya sebagai seorang ahli muzik.
Ini kerana di Indonesia muzik orkestra itu masih lagi baru dan dimainkan sepenuhnya oleh orang Indonesia manakala di Malaysia saya dengar ahlinya terdiri daripada pelbagai pelosok negara.
Dhani berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media dan sesi latihan konsert tersebut di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Khamis.
Sementara itu, pelantun lagu ‘Pupus’ tersebut turut berharap agar muzik orkestra akan berkembang maju dan diterima baik masyarakat Indonesia.
Lagi pun muzik orkestra ini bukan datang dari budaya kita, ia merupakan budaya dari Barat. Jadi bila mereka sendiri yang mainkan pastinya ia akan kedengaran lebih bagus.
Muzik orkestra merupakan satu budaya baharu yang cuba diketengahkan di Jakarta dan boleh dikatakan penonton untuk jenis muzik tersebut juga masih baharu di sana.
Saya harap satu hari nanti kami di Indonesia bakal mempunyai muzik orkestra yang dibiayai oleh kerajaan seperti di Malaysia.
Beri sisi lain buat Dewa 19
Dalam pada itu, Dhani meluahkan rasa terujanya apabila konsert Dewa 19 kali ini akan menonjolkan sisi lain band terkenal Indonesia berkenaan apabila bakal diiringi alunan muzik dari pasukan orkestra.
Boleh saya katakan konsert ini secara tidak langsung bakal memberi satu sisi lain buat Dewa 19 kerana lagu-lagu yang dihasilkan kami itu bukan sekadar untuk hiburan semata-mata malah ia juga boleh didengar secara serius dengan iringna muzik orkestra.
Iringan muzik orkestra itu juga boleh dikatakan seolah-olah membaluti muzik serta persembahan Dewa 19.
Untuk info, Dewa 19 dijangka akan menyampaikan 34 buah lagu pada Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia Dewa 19 yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat.
Konsert ini akan membawa sedikit kelainan apabila Dewa 19 bakal diiringi oleh seramai 54 Piece Ahmad Dhani Malaysian Orchestra.
Bukan itu sahaja, Dewa 19 juga akan membawakan penampilan khas tiga penyanyi popular tanah air iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.