Penyanyi Shila Amzah meluahkan rasa syukur dan gembira atas perkahwinan ibunya, Fauziah Sarman dan suami, Brigedier Jeneral Zainal Abidin Mohammad Salleh.

Artikel Berkaitan: ‘Sebulan Kenal Terus Suami Ajak Kahwin, Saya Terpikat Dengan Pickupline Dia’ – Ibu Shila Amzah

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ibu Shila Amzah Kembali Bergelar Isteri, Suami Dikenali Sebagai Zainal 

‘Dari kawan, terus ajak kahwin’

Ketika ditemui OhBulan!, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, menjelaskan bahawa hubungan baharu ibunya berlaku secara tidak dijangka namun yakin semuanya adalah ketentuan daripada Allah SWT.

Alhamdulillah, saya sangat gembira. Perkara yang tidak dijangka, perkenalan mereka singkat sama seperti saya dan Ubai. Dari kawan, terus ajak kahwin. Mak saya pun melalui benda yang sama.

Bercerita pengalaman pertama bertemu dengan bapa tirinya, pelantun lagu Memori Tercipta ini berkata, dia merasakan lelaki memiliki aura positif dan kehadirannya sekaligus membuatkan mereka sekeluarga selesa.

Kali pertama saya jumpa babah, dia ada aura. Orang kata bila kita dah pernah tempuh macam-macam dalam hidup sebelum ni, sekali pandang pun kita dah dapat tahu.

Shila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu Shila Amzah berjudul SA25 yang berlangsung di Damansara Perdana pada Selasa.

‘Saya nampak mak sangat gembira’

Ditanya mengenai perubahan pada ibunya selepas kembali bergelar isteri, Shila berkata, meskipun perkahwinan itu masih baharu namun terpacar kebahagiaan pada wajah ibunya.

Walaupun baru beberapa hari mereka berkahwin, tapi saya nampak mak sangat gembira.

Tak dinafikan, dengan apa yang terjadi sebelum ini, dia sukar untuk jatuh cinta. Bila diberi peluang kedua, saya harap mereka saling melengkapi antara satu sama lain. 

Susulan itu, Shila berharap orang ramai tidak mempertikaikan keputusan ibunya untuk kembali berumah tangga, kerana baginya setiap insan berhak mengecapi kebahagiaan walaupun sudah berusia.

Orang kata, kalau dah tua biarlah dengan anak-anak. Tapi untuk mereka yang kata macam itu, anak-anak pun ada kehidupan sendiri, tak akanlah mak kita nak duduk seorang.

Pada usia berapa pun, mereka berhak mengecapi bahagia.

Sekadar info, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon ND Lala pada tahun 1989. Namun, pasangan itu mengambil keputusan untuk bercerai selepas 34 tahun hidup bersama.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram, Fauziah memberitahu bahawa lafaz cerai dilakukan suaminya pada 2 Ogos 2023 lalu di sebuah masjid.

Fauziah kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama jejaka pilihannya, Zainal Abidin pada 22 November lalu.