Penyanyi dan juga pelakon, Danny X-Factor mendedahkan dia kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan untuk bersedekah kepada penumpang golongan pelajar sekolah atau Orang Kelainan Upaya (OKU).
Artikel Berkaitan: Danny X-Factor Timang Cahaya Mata Selepas 7 Tahun Menanti
Tidak ambil bayaran
Memetik laporan Harian Metro, Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak tahun 2017 lagi.
Menurut Danny, dia ingin mencari rezeki yang halal dan dalam masa sama ingin membantu golongan yang memerlukan.
Pelakon berusia 44 tahun itu memberitahu, jika pelajar ataupun golongan Orang Kurang Upaya yang menaiki keretanya, dia tidak akan mengambil sebarang bayaran daripada mereka.
Kadangkala ada golongan pelajar sekolah yang naik kereta saya mahu ke perpustakaan dan sebagai. Apabila nak bayar, saya suruh dia simpan wang dan beritahu saya niat sedekah dan minta mereka belajar rajin-rajin.
Begitu juga kalau penumpang dari golongan OKU, saya takkan ambil wang kerana bersimpati dengan keadaan mereka. Yang penting ialah doakan saya murah rezeki. Itu pun sudah cukup.
Tambahnya lagi, dia masih menjadi pemandu e-hailing kerana berasa seronok dan menganggapnya sebagai satu terapi kerana banyak mengenali orang ramai.
Saya tak rasa ‘stress’ memandu. Ia ibarat terapi juga pada saya kerana saya boleh kenal lebih ramai orang. Tak dinafikan mulanya buat sekadar suka-suka, kemudian tengok rezeki pendapatan macam alhamdulillah.
Ramai juga jumpa kawan-kawan artis yang tiada kerja dan saya cadangkan buatlah e-hailing. Mungkin ada yang malu dan ada sesetengah tiada kereta sendiri. Petuanya mudah sahaja. Kalau rajin semua benda boleh jadi.
Sekarang, boleh katakan kalau ada tawaran berlakon pun, saya lebih pilih buat e-hailing. Pendapatan bergantung atas diri kita. Kena tahu masa yang sesuai.
Bergantung pada rezeki
Walau bagaimanapun, bekerja sebagai e-hailing juga mempunyai cabarannya tersendiri di mana pendapatan seharian bergantung kepada rezeki.
Pelakon drama ‘Cinta Masam Manis’ itu berkata dia tidak akan mendapat pendapatan yang sama setiap hari kerana kadang kala akan mendapat jumlah yang sedikit.
Disebabkan itu, Danny akan menetapkan jumlah wang perlu dia dapatkan setiap hari.
Bagi saya, apabila bawa kereta keluar, setiap minit adalah duit. Kalau hari ini dapat RM10, setakat itu sahaja rezeki. Kalau esok dapat lebih pun, rezeki kita juga.
Yang penting saya gembira, ambil orang dan turunkan orang. Tak perlu jumpa kawan-kawan untuk dengar masalah. Yang penting penumpang selamat sampai ke destinasi.
Apapun saya kena pastikan cukup rehat. Hari-hari duit dalam dompet tak kosong untuk berbelanja. Kadangkala ada sasaran untuk bayar contohnya pelbagai bil dalam bulan tertentu.
Jadi saya tetapkan beberapa hari untuk bekerja bagi dapatkan jumlah yang dikehendaki.
Apabila isterinya pergi keluar bekerja, Danny akan membantu dengan mengambil alih tugas menjaga anak mereka di rumah.
Selain menjadi pemandu e-hailing, Danny juga bekerja sebagai penerbit penyelaras dan pengurus produksi di Double Channel Sdn Bhd milik pelakon Syed Aiman.
Alhamdulillah… kami sudah berjaya menghasilkan filem pertama berjudul Janna Endoro lakonan Trisha Ooi dan Pekin. Ia filem aksi yang angkat wanita sebagai subjek utama.
Filem yang mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini akan ditayangkan pada Februari. Ceritanya berlatar kisah di Kelantan.
Sumber: Harian Metro