berita

‘Peluru Telah Menembusi Hati Anak Ini’ – Pengalaman Menyayat Hati Dari Bilik Pembedahan Di Syria

November 16th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Syria kini menjadi tanah bergolak apabila perang saudara berlaku di sana. Sebelum ini seorang jurugambar kemanusian Malaysia telah berkongsi cerita pengalamannya berada di bumi Syria.

Kali ini, menerusi Facebook Syahrir Azfar Al-Halabi yang merupakan seorang ahli misi bantuan kemanusian di Syria berkongsi pengalaman ketika dalam bilik pembedahan untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terkena tembakan. Kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut sungguh tragis dan sukar dilupakan buat dirinya.

Suasana bilik pembedahan jadi kecoh

Sedang kami melihat-lihat bilik pembedahan di Hospital’ Zarzur, Aleppo dan berbincang dengan Dr Abdul Aziz mengenai keperluan yang diperlukan di hospital itu, tiba-tiba suasana di luar bilik pembedahan bertukar kecoh.

Laungan takbir bersahut-sahutan. Semua yang berada di dalam bilik pembedahan diminta keluar. Aku dan Syahiran Sukardi (jurugambar) diminta oleh Dr Aziz untuk terus berada di situ.

Darah membasahi anak kecil itu

Seorang kanak-kanak di dalam lingkungan 7-8 tahun diusung masuk dan diletakkan di atas meja pembedahan. Hati aku berdebar-debar.

Darah membasahi anak kecil itu. Segera Dr Aziz mengoyakkan baju tersebut maka terserlahlah luka tembusan peluru di dada anak kecil itu. Darah masih mengalir. Muka anak kecil ini pucat. Dadanya tidak berombak menandakan dia sudah tidak bernafas. Segera pembantu perubatan melakukan intubation.

Syahiran yang sedang merakam setiap pergerakan di dalam bilik itu tiba-tiba rebah dan pitam. Doktor mengarahkan untuk beliau dibawa keluar. Lampu dipasang dan Dr Aziz sudah bersedia. Dia memasukkan jarinya di dalam luka di dada.

Peluru menembusi hati anak itu

Beberapa ketika…… Dr Aziz mengelengkan kepala. Ah! Senyap sunyi. Suasana yang kelam kabut tadi serta merta terhenti. Aku yang melihat dan cuba merakam setiap detik yang berlaku juga kaku.

Dr Aziz menepuk bahu aku. Sambil membawa aku untuk rapat ke meja pembedahan. Kembali Doktor memasukkan jarinya dan kemudian membawa keluar ketulan daging yang telah hancur. Dr menerangkan ianya adalah hati anak kecil ini. Peluru telah menembusi hati anak ini dan menghancurkannya.

Dr memaklumkan tiada apa yang boleh dilakukannya. Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun. Perlahan-lahan kami keluar dari bilik pembedahan sementara beberapa orang menguruskan tubuh kaku anak yang tidak berdosa tersebut.

Ditembak ketika bermain di balkoni rumah

Aku masih tidak percaya apa yang telah berlaku di hadapan mata sebentar tadi. Bertemu mereka yang menunggu di luar dan memaklumkan kematian anak ini benar-benar umpama batu menghempas dada.

Maka terburailah esak tangis. Ya Tuhan. Anak ini ditembak oleh sniper ketika sedang bermain di balkoni rumahnya. Entah apa silap dan dosa anak ini. Entah berapa ramai lagi yang telah menjadi mangsa bidikan sniper.

Hospital itu kami tinggalkan. Diiringi bunyi tembakan sayup-sayup. Ada ketika van yang membawa kami bergerak laju mengelak dari pandangan sniper. Terkadang pemandu melihat-lihat ke atas takut-takut ada helikopter menjatuhkan bom barrel. Walkie talkie sentiasa berbunyi memaklumkan keadaan sesuatu kawasan.

Bumi Aleppo umpama medan perang

Bumi Aleppo ketika itu umpama medan perang yang dahsyat. Bunyi tembakan bersahutan. Terkadang bunyi ledakan bom juga mengiringi.

Entah apa yang Tuhan janjikan untuk aku dan Syahiran tiada siapa yang tahu. Samada turut sama akan terkorban atau terus diberikan peluang untuk membawa kisah derita Syria kembali ke Malaysia. Sungguh telah aku pasrah segala-galanya saat membuat keputusan untuk masuk ke Aleppo sebelum ini.

Takdirnya Tuhan, maka aku kembali, dan kisah ini aku kongsikan semula buat tatapan kalian.

Demi Syria, untuk Ummah

Teman-teman yang baik, andai kisah ini menjentik dhamir kalian, maka kongsikanlah. Dan jika ada ruang untuk kalian berkongsi rezeki meringankan derita Syria, maka silakan. Aku akan kongsikan linknya di bahagian komen.

Terima kasih atas sokongan dan doa. Kami akan terus berjuang apa terdaya. Demi memastikan kehidupan terus terbela. Siapapun dan di mana pun. Atas nama manusiawi, izinkan kami untuk terus berbakti.

Demi Syria, untuk Ummah.

Sumber: Syahrir Azfar Al-Habibi

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×