berita

‘Pengambilan Vaksin Diharuskan Mengikut Syarak..’- Mufti Wilayah Persekutuan

February 19th, 2019 | by Ai
Kini Trending

vaksin

Sejak kebelakangan ini, isu vaksin sangat hangat diperkatakan sehingga menjadi topik perdebatan dalam sebuah rancangan di TV Alhijrah. Sesi perdebatan membabitkan isu pengambilan vaksin antara Dr Nurul Huda (doktor freelance) dan Pakar Pediatrik, Dato’ Dr Musa Mohd Nordin itu telah mendapat perhatian netizen di laman sosial.

Rentetan daripada isu berkenaan, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberi respon mengenai kewajipan mengambil vaksin mengikut jadual imunisasi Kebangsaan daripada perspektif Islam.

Vaksin diharuskan mengikut syarak

vaksin

Menurut artikel yang dimuat naik di laman web rasmi Pejabat Mufti Persekutuan, penggunaan vaksin bagi menambah imunisasi badan adalah diharuskan oleh Syarak. Namun, menurut Mufti kesan gerakan anti-vaksin dalam masyarakat Malaysia sebenarnya semakin parah dan membimbangkan.

Penolakan pengambilan vaksin meningkat

vaksin

Dalam artikel tersebut juga memberitahu bahawa gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa masa kini terus meningkat.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pihak KKM melalui pemantauan yang dilakukan mendapati gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa masa kini terus meningkat daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada tahun 2016.

Kesan daripada penolakan tersebut, penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin teah meningkat dengan mendadak sekali!

Dalam masa yang sama, penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin telah meningkat dengan mendadak, contohnya kes penyakit demam campak, daripada 195 kes pada tahun 2013 kepada 1,934 kes pada tahun 2018, iaitu peningkatan sebanyak 891.8% bagi tempoh 5 tahun! Dalam jumlah tersebut, kes demam campak yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes pada tahun 2013 kepada 1,467 kes pada tahun 2018.

Begitu juga menurut Kementerian Kesihatan, pada tahun 2018, terdapat enam rekod kematian demam campak di mana semuanya akibat tiada imunisasi, lima kes kematian berpunca daripada difteria dan empar daripadanya akibat tiada imunisasi, manakala 22 kematian akibat batuk kokol, di mana 19 kes daripadanya akibat tiada imunisasi.

Apakah imunisasi dan vaksin?

vaksin

Bagi anda yang masih belum jelas mengenai apa itu imunisasi dan vaksin, Mufti turut menerangkannya dalam artikel tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) mendefinisikan “imunisasi” sebagai proses di mana seseorang itu dijadikan imun atau tahan penyakit berjangkit, biasanya melalui pengambilan vaksin. Vaksin merangsang sistem imun badan sendiri untuk melindungi seseorang itu daripada jangkitan berikutnya atau sebarang jenis penyakit.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

Bagaimana vaksin dihasilkan?

vaksin

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

  • Pembiakan: Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
  • Pengasingan: Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
  • Penulenan: Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
  • Formulasi: Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.

Kesan Mengambil Vaksin

vaksin

Mungkin ada dalam kalangan anti-vaksin yang menganggap vaksin tidak ‘mujarab’ untuk mencegah penyakit. Tapi, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui vaksin:

  • Smallpox (cacar) telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada orang yang dijangkiti.
  • Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
  • Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa akan mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.
  • Kita dilindungi dari barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.

Selain itu, pengambilan vaksin juga dapat melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan). Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti.

Pesanan Mufti

vaksin

Dalam artikel berkenaan, Mufti juga berpesan kepada seluruh masyarakat yang beragama Islam tidak sepatutnya menolak vaksin.

Memandang kajian mengenai vaksin sudah menempuh ratusan eksperimen dan puluhan tahun pengalaman, sehingga menghasilkan penawar dan pencegahan antara yang terbaik dalam sejarah perubatan manusia, maka tidak sepatutnya kita sebagai orang Islam menolak pemberian vaksin ini atas alasan yang tidak kukuh sehingga menyebabkan kerosakan dan penyakit kembali merebak dalam masyarakat kita.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SKIP THIS AD ×