Penyanyi Mimi Fly berasa kesal dengan sebuah tajuk berita tempatan yang menggelarkan kekasihnya ‘Negro’ hanya kerana lelaki itu berketurunan Afrika-Amerika.
Sekarang dah 2022
Menerusi Instagram Stories, Mimi berkata panggilan ‘Negro’ itu dianggap biadab dan boleh mengundang kepada pergaduhan.
Justeru, pemilik nama Shamimi Amalina Norhisham memohon agar orang ramai lebih berhati-hati dalam berkata terutama pihak media.
Wahai orang Malaysia, buka matamu dan belajar memahami. Sekarang dah 2022, jangan lagi hidup dalam perpecahan dan perpisahan.
Perkataan ‘negro’ kalau di Amerika hari ini dikira biadab. Ia adalah terma yang dicipta oleh kaum orang putih pada zaman (orang) Afrika-Amerika dijadikan hamba.
Bertahun-tahun dan berdekad mereka bertarung demi kemerdekaan daripada slavery (penghambaan) dan terlalu ramai telah berkorban termasuk Martin Luther King, demi kebebasan dan hak asasi mereka.
Kalau digunakan sekarang, tindakan tersebut hanya untuk cari gaduh dengan niat nak buat golongan berkenaan rasa kerdil dan lemah.
Keluarga sana layan baik
Dalam pada itu, penulis lirik berumur 36 tahun memberitahu dia dilayan baik oleh keluarga teman lelaki justeru dia enggan timbul persepsi buruk terhadap rakyat Malaysia.
Saya bukan jenis yang senang melatah. Persepsi kalian tentang saya bukan tanggungjawab saya. Sejak permulaan karier, saya memang dikenali sebagai seseorang yang sangat berbeza. Saya ada citarasa yang berlainan, gaya berbeza.
Saya adalah siapa diri saya. Harapan saya sekarang adalah agar saya dapat kembalikan rasa dialu-alukan yang telah saya terima sepanjang saya berada di sana daripada keluarga dan rakan-rakannya.
Mereka dah layan saya macam saya ini sebahagian daripada keluarga mereka. Elakkan (penggunaan perkataan tersebut) agar mereka tahu orang Malaysia ini, baik sebenarnya.
Tak biadab dan bukanlah ignorant (jahil). Doakanlah yang terbaik untuk saya. Terima kasih buat semua yang ambil berat tentang saya. Sebenarnya, saya sangat bahagia sekarang dan sedang jalani kehidupan dengan seronok.
Sebelum ini, Mimi mendedahkan bahawa dia sedang mengenali hati budi seorang lelaki kulit hitam yang bertugas sebagai seorang doktor pakar tulang belakang di Amerika Syarikat.
Mimi pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 namun pasangan tersebut bercerai pada November 2017.
Sumber: Instagram @mimiflyyy