Pokok pisang mempunyai ciri unik yang jarang dimiliki tumbuhan lain. Tanaman ini hanya boleh berbuah sekali sahaja sehingga ada peribahasa Melayu ‘takkan pisang berbuah dua kali’ yang bermaksud sekali tertipu tidak akan berulang lagi.
Lain pula ceritanya di Bukit Payong, Terengganu, apabila sebatang pokok pisang menunjukkan kejadian luar batas normal pohon pisang. Nampaknya peribahasa sudah tidak lagi terpakai atau macam mana selepas ini?
Berbuah semula selepas ditebang
Kejadian aneh berkenaan berlaku di Kampung Dalam Kedai Buloh, Bukit Payong, Terengganu apabila pohon pisang kelat siam ditebang dilihat berbuah untuk kali kedua pada batang pohon berkenaan.
Zulaika Ariffin yang tinggal berhampiran berkata, penduduk di kampung itu sedar akan keunikan pisang itu berbuah di batang pokok ketika lalu-lalang di kawasan tanah lapang berkenaan. Menurutnya, pemilik tanah membersihkan kawasan berkenaan termasuk menebang pokok itu untuk pembinaan rumah.
Hanya berbuah 3 sikat sebelum ini
Namun ada setandan pisang tumbuh semula pada bahagian batang pokok sudah ditebang itu sekali gus menarik perhatian penduduk untuk datang melihat pokok pelik ini.
Bezanya buah pisang tumbuh kali kedua atau tumbuh pada batang seperti itu akan menjadi tidak normal seperti biasa dan mungkin kecil atau akan gugur begitu sahaja.
Menurut Zulaika, dia tidak pernah melihat kejadian seumpama itu sebelum ini membuatkan penduduk tertarik.
Pokok sudah ditebang itu menghasilkan hanya tiga sikat pisang namun saiz buahnya adalah normal.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohamad Azmi, berkata, kejadian itu jarang-jarang berlaku namun bukan terlalu pelik malah biasa dibaca di dada akhbar.
Sumber: Sinar Harian