Betul ke Menteri Kewangan kita mengumumkan diskaun bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Belanjawan 2023 Februari lalu?
Haaa…betul lah tu, Kerajaan kita telah bersetuju untuk memberikan insentif diskaun bayaran balik sehingga 20% selama tiga bulan bermula 1 Mac lepas.
Ini yang kita mahukan! Melalui insentif diskaun ini ia dapat memastikan kebajikan para peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.
Min dengar ramai peminjam yang berpuas hati bila insentif diskaun ini diumumkan tau.
Berbaloi ke insentif diskaun ni?
Kalau korang nak tahu, antara insentif diskaun yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 terbahagi kepada 4 kategori iaitu :
- Diskaun 20% untuk menyelesaikan semua baki pinjaman.
- Diskaun 15% bagi bayaran sekurang-kurangnya 50% dari jumlah baki pinjaman
- Diskaun 15% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Direct Debit mengikut jadual yang ditetapkan.
- Diskaun 5% untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.
Amacam, korang nak pilih yang mana?
Jangan risau, semua peminjam layak untuk menikmati insentif ini termasuk mereka yang dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP). Menarik kan!
Min rasa ini merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan oleh semua peminjam di luar sana.
Jom tengok apa kata peminjam!
PTPTN sentiasa komited untuk membantu semua peminjam dengan meringankan beban yang ditanggung dan akan berusaha membantu peminjam dengan penyediaan insentif diskaun seperti ini.
Memilih insentif diskaun kategori pertama dengan potongan sebanyak 20% – Mohd Asyraf Bin Zuraimi
Menurut Asyraf yang kini berkhidmat sebagai seorang guru, beliau mula membayar pinjaman PTPTN nya sejak 2013 lagi dan menganggap insentif diskaun ini adalah sangat baik dan merupakan diskaun tertinggi yang pernah ditawarkan oleh PTPTN.
Baginya, insentif diskaun 20% ini sangat bermanfaat kerana mampu mengurangkan beban kewangan peminjam dengan menyelesaikan terus bayaran pinjaman.
Cara ini juga ini juga dapat menggalakkan lebih ramai peminjam melangsaikan hutang secara lamsum seterusnya memberi manfaat pula kepada peminjam yang baru.
Sebagai seorang peminjam yang beragama Islam, kita dituntut untuk melangsaikan hutang sebaik mungkin. Setelah selesai hutang insyaAllah kita akan diberi kelapangan dalam hidup kita, insyaAllah.
Asyraf juga percaya bahawa akan ada lagi insentif-insentif atau diskaun yang akan ditawarkan oleh pihak PTPTN mahupun kerajaan pada masa akan datang.
Setiap bayaran yang kita buat dapat memberikan peluang baru kepada pelajar lain yang ingin menyambung pelajaran ke menara gading dan secara tidak langsung kita dapat membantu mereka yang memerlukan.
Memilih insentif diskaun kategori ketiga dengan potongan sebanyak 15% – Nurul Nabihah Binti Zulkefli
Nabihah yang bekerja sebagai seorang Manufacturing Planner berkata, insentif diskaun ini sangat bagus dan sangat membantu dari segi kewangannya dalam membuat bayaran bulanan.
Dengan keadaan ekonomi sekarang, tak semua peminjam mampu untuk membayar hutang namun hutang tetap harus dibayar dan kita wajar menitikberatkan soal hutang ini.
Bagi mereka yang memilih insentif diskaun 15% ini, harus sentiasa konsisten membayar menggunakan direct debit atau potongan gaji. Senang dan memudahkan kerja.
Tambahan lagi, diharapkan semua peminjam dapat membuat pilihan yang bijak sebelum terlambat, kerana peluang tidak selalu nya datang dua kali. Hutang itu ialah tanggungjawab kita sebagai peminjam dan wajib untuk selesaikan.
Kita seharusnya mengutamakan keperluan, selesaikan hutang dan kurangkan kehendak. Itulah prinsip yang saya pegang dalam kehidupan ini.
Memilih insentif diskaun kategori pertama dengan potongan sebanyak 20% – Chen Ten Mun @ Chen Sook Sen
Menurut Chen Ten Mun yang kini bekerja sebagai seorang Analyst, beliau membuat bayar balik pinjaman PTPTN pada tahun pertama bekerja dan menangguhkannya lama setelah itu.
Selepas mendengar tentang insentif diskaun yang ditawarkan, beliau kini merancang untuk menyambung semula bayar balik pinjaman PTPTN nya dengan memilih insentif diskaun 20%.
Baginya, cara ini dapat menjimatkannya sehingga 20% dari jumlah pinjamannya dan jumlah yang jimat itu boleh lah buat simpanan lain.
Sebagai seorang peminjam, PTPTN selalu menjadi hutang terakhir yang saya rancang untuk bayar balik dan sudah menjadi kebiasaan perkara kurang penting dalam kehidupan saya. Tetapi ianya tetap satu beban. Apabila terdengar rekod CCRIS dan sebagainya, pinjaman PTPTN ni sekali lagi dipandang penting dalam hidup saya. Untuk kurangkan beban dalam hati, saya buat keputusan untuk membayar balik dengan merebut peluang diskaun ini memandang pinjaman PTPTN ni penting seperti pinjaman kereta dan rumah.
Beliau juga menasihatkan semua peminjam yang baru nak mula membayar balik pinjaman agar menggunakan perkhidmatan bayaran secara automatik supaya tidak tertangguh.
Selain itu, beliau juga berharap agar peminjam diluar sana untuk mengambil peluang ni sebelum ianya tamat.
Memilih insentif diskaun kategori keempat dengan potongan sebanyak 5% – Muhd Izzat Bin Md Isa
Izzat berkata, menerusi insentif diskaun yang telah diumumkan ini sedikit banyak membantu dan menggalakkan lagi peminjam untuk membuat bayaran secara konsisten.
Beliau yang memilih untuk membuat bayaran balik melalui myPTPTN memilih insentif diskaun 5%.
Cara ini amat memudahkannya untuk mengetahui jumlah baki yang harus dibayar dari semasa. Segalanya berada dihujung jari!
Peminjam yang ingin menggunakan kaedah ini boleh lah muat turun aplikasi myPTPTN melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery. Semudah ABC tau!
Menurut beliau juga, keprihatinan dalam pemberian insentif diskaun ini juga harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peminjam diluar sana yang terkesan dengan keadaan ekonomi masa kini atau yang ingin menyelesaikan beban hutang selama ini.
Rebut peluang ini sebelum terlambat!
Tanam padi tumbuhlah padi,
Beras dimasak menjadi nasi,
Hutang budi dibalas budi,
Hutang duit harus dilunasi.
Min berharap dengan adanya insentif diskaun ini, semua peminjam dapat merebut peluang ini untuk membuat bayaran balik dan yang paling penting korang juga kena ikut kemampuan tau, bak kata orang tua “ukur baju dibadan sendiri’!
Untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut korang boleh layari ke laman web rasmi PTPTN atau ke laman Facebook mereka atau muat turun aplikasi myPTPTN di telefon bimbit anda untuk informasi yang lebih cepat, mudah dan selamat.
Jadi korang tunggu apa lagi cepat mohon insentif diskaun ini sekarang juga tau. Siapa lambat tak dapat. Jangan cakap min tak bagi tau ya!