Pelakon Putra Amaris mengambil inisiatif untuk membantu mengumpul dana bagi memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Adina (Adina) bersama syarikat pengeluar produk pencuci.

Artikel Berkaitan: Putra Amaris Syukur Program Kongsi Rezeki: #SamaSamaKenyang Berjaya Kumpul Sumbangan RM33,687 Sehari

Artikel Berkaitan: Putra Amaris Syukur Dapat Dua Kereta MPV Untuk Anak-Anak Tahfiz

Artikel Berkaitan: Putra Amaris Anjur Program ‘Kongsi Rezeki’ Untuk Anak Tahfiz & Pesakit Kanser – ‘Kesusahan Mereka Ujian Buat Kita’

Sumbangan amal berterusan

Menurut Amaris, dia membuka ruang kepada masyarakat untuk membeli sambil menderma menerusi produk pencuci dan pelembut pakaian bawah label‚ PowerRein dan SoftRein di Biofitrah (M) Sdn Bhd.

Amaris yang juga merupakan duta berharap program amal ini mendapat sambutan menggalakkan sekaligus meringankan beban anak-anak yang menghidap kanser.

Ini merupakan tanggungjawab yang saya galas bersama Biofitrah. Jika sebelum ini kami bersama sama dalam program amal sempena Ramadan, kerjasama ini diteruskan dengan membantu pesakit kanser kanak-kanak.

Apa yang kami lakukan ini bukanlah kerana bisnes semata-mata, tetapi juga sumbangan amal yang berterusan.

Untuk itu, kami amat memerlukan sokongan daripada mana-mana syarikat korporat, masyarakat dan pihak media bagi menjayakan program ini sekaligus meringankan beban anak-anak yang sedang menderita menghidap kanser.

Amaris, 39, tidak dapat menahan sebak ketika bertemu dengan kanak-kanak kanser yang disifatkannya insan yang kuat dan tabah berhadapan ujian hidup.

Sungguh besar ujian buat mereka. Kalau saya di tempat mereka, entah macam mana. Belum tentu saya boleh sekuat mereka.

Dalam masa yang sama, ini juga ujian buat kita yang dilahirkan sempurna, sama ada kita bersyukur atau tidak. Adakah kita peka dan prihatin terhadap insan-insan lain yang memerlukan bantuan kita.

Jadi atas dasar itulah, kami mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan mereka.

Banyakkan program CSR

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Biofitrah (M) Sdn Bhd‚ Aman Rasyidi Mohd Noor pula berkata, usaha sebegini bersesuaian dengan Biofitrah yang sering menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat atau CSR.

Sebenarnya sudah lebih tiga tahun aktif terlibat dalam kerja amal. Cuma sebelum ini kami banyak bersama badan-badan NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) misalnya membantu mangsa banjir.

Sejak tahun lepas, kami mula bersama Amaris. Amaris bukan sahaja sebagai duta, tetapi juga ‘tulang belakang’ kami dalam menganjurkan program-program amal.

Saya percaya, dalam kita berniaga, pasti ada bahagian orang lain. Setiap pembelian Softrein RM1 akan diserahkan kepada Adina. Manakala setiap pembelian PowerRein RM1 akan disumbangkan kepada Muslim Care.

Insya Allah, selepas ini kami juga merancang untuk adakan program CSR artis-artis veteran yang memerlukan.

Manakala, Pengerusi Adina,Nurdieana Mohd Mardzi, akui terharu dan berterima kasih kasih dengan usaha yang dijalankan bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak bawah kelolaannya.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Biofitrah dan Amaris kerana sentiasa peka dengan anak-anak bawah Adina. Sebelum ini sudah beberapa kali kami bekerjasama.

Bercakap tentang anak-anak kanser ini, terdapat pelbagai jenis kanser yang mereka hidap seperti kanser darah, otak, mata, saraf, buah pinggang dan sebagainya.

Dalam sesi bersama media itu, Nurdieana turut berkongsi kisah adik Muhammad Firash Ukail Saiful Anuar, 9, yang merupakan pesakit kanser mata atau nama saintifiknya kanser Malignant Medullaepithelioma yang kini status rawatannya adalah Paliatif.

Paliatif ini bermaksud Firash tidak perlu menjalani apa-apa rawatan lagi sebaliknya hanya bergantung kepada doa dan keajaiban.

Doktor cakap, berilah apa sahaja yang dia nak makan. Mak ayah dia akan penuhi apa sahaja permintaan anaknya itu.

Walaupun dia tahu tahap sebenar kansernya itu, dia tetap jalani kehidupan dengan ceria. Mak ayahnya pun kuat sekaligus membuatkan dirinya kuat untuk jalani kehidupan seharian.

Dalam masa yang sama, kami di Adina akan melakukan yang terbaik demi meringankan beban mereka. Ini kerana, menjaga anak-anak kanser ini memerlukan lebih perhatian dan kos penjagaan.

Kebiasaannya kami dapat senarai keperluan mereka daripada pihak hospital. Antara keperluan asas untuk mereka adalah lampin pakai buang dan susu bernutrisi yang bersesuaian.

Seramai lebih 350 pesakit kanser kanak-kanak bernaung bawah Adina.

Sesiapa yang ingin membuat sumbangan untuk tabung bantuan lampin pakai buang dan susu bernutrisi kanak-kanak kanser, boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 8605749460 (CIMB Islamic).

Terdahulu, Majlis Pelancaran dan Perasmian Pembukaan Kilang Kedua Biofitrah di Nilai Utama Enterprise Park, Nilai, Negeri Sembilan, telah disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Negeri (Pembangunan) MARA Negeri Sembilan, Siti Roziah yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Zahari Aziz.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran NGO seperti Muslim Care Malaysia Society dan Adina Charity Circle serta anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah.