berita

Putra Amaris, Tyzo Bergabung Kongsi Rezeki Sepanjang Ramadan

March 10th, 2024 | by Zulaikha
Kini Trending

tyzo amaris

Mendalami kepayahan hidup yang dialami orang masyarat sekeliling telah menjentik hati pelakon Putra Amaris untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban buat mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Belum Lagi Bergelar Jutawan’ – Putra Amaris

Artikel Berkaitan: Percaya Dengan Aturan Allah, Putra Amaris Harap Tajaan Kekal Berterusan

‘Share Rezeki’

 amaris share rezeki

Menurut Amaris, dia percaya setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu bukan hanya usaha diri sendiri, sebaliknya ia juga berkat orang ramai yang banyak memberi sokongan dalam perniagaan serta kerjaya seni.

Kata Amaris, dia mula menggerakkan program ‘Share Rezeki’ sejak tahun 2020 dan secara tidak langsung menjadi ibadah infaq sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.

Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.

Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.

Malah, Amaris juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama bersama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.

Bukan itu sahaja, Amaris juga mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.

Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Bukan itu sahaja, saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.

Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka.

Pelancaran Share Rezeki tahun ini diadakan pada 8 Mac lalu bertempat di MyEvent Production Studio, Shah Alam dan ia juga disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Rarekynd Malaysia.

Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini, turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.

Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Bermula dari sembang kosong

Amaris Tyzo

Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.

Siapa tahu program ini akan dijalankan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.

Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin Allah ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.

Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemuan di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini.

Berkongsi lanjut, menurut Amaris setiap perancangan yang dilakukan pasti akan ada cabaran.

Dalam masa sama dia juga berdepan dugaan terbesar kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

Cabaran datang bersilih ganti. Saya juga baru kehilangan ibu baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak mahu kesedihan yang dilalui menjadi penghalang untuk melaksanakan program ini.

Semoga dengan rezeki yang dikongsi ini juga dapat memberi pahala buat arwah ibu dan ayah. Doa-doa mereka ini semua akan menjadi bekalan buat kita semua juga.

Sementara itu bercakap tentang perjalanan kerjaya seni, Amaris memberitahu dia tidak pernah meletakkan kata nokhtah terhadap dunia lakonan meskipun kini semakin sibuk dengan perniagaan.

Saya masih berlakon cuma tidak aktif seperti dahulu kerana tumpuan sekarang lebih kepada perniagaan.

Rasa cinta dan rindu terhadap dunia lakonan tidak pernah hilang. Jika ada tawaran yang sesuai pastinya saya sedia untuk kembali ke set penggambaran.

SKIP THIS AD ×