Selain mencipta fenomena menerusi single sulungnya, Cinta Sampai Mati, nama penyanyi Indonesia iaitu Raffa Affar turut popular menerusi beberapa lagu nyanyian semula atau ‘cover version’ yang pernah popular di tanah air seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exist.
Artikel Berkaitan: Nyanyi Lagu ‘Tiara’ Tak Sedap Masa ‘Live’, Penyanyi Indonesia Dikecam
Artikel Berkaitan: Dikecam Nyanyi Lagu Tiara Sumbang Semasa Live, Raffa Affar Tampil Beri Respon – ‘Semua Orang Bebas Berpendapat’
Berbekalkan hampir lima juta pengikut TikTok, nyanyian ‘cover version’ oleh Raffa Affar sering menjadi bualan netizen sehingga viral di media sosial.
Raffa dikritik nyanyi lagu kumpulan Lestari
Namun kali ini lain pula kisahnya apabila nyanyian ‘cover version’ oleh Raffa Affar atau nama sebenarnya Raffa Aldiansyah menerusi lagu balada rock tempatan berjudul Airmata Di Hari Persandinganmu nyanyian asal kumpulan era 1980–an, Lestari telah mendapat kritikan ramai. Lebih mencuri tumpuan ramai adalah satu komen yang ditinggalkan seorang individu yang bertulis ‘Hancur lagu aku’.
Rupa-rupanya komen tersebut dipercayai datangnya dari vokalis kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Wan Lejen menerusi satu posting oleh akaun Facebook Malaysian Modders. Menerusi komen berkenaan, Wan seakan menyifatkan penyanyi seberang yang berusia 20 tahun itu telah merosakkan melodi lagu milik kumpulannya. Namun tidak dapat dipastikan sama ada dia sekadar bergurau atau sebaliknya.
‘Hancur lagu aku’
Video ‘cover version’ lagu Airmata Di Hari Persandinganmu yang dikongsikan Raffa di Youtube telah mendapat hampir 1 juta tontonan dan menerima pelbagai komen daripada para pengikutnya.
Menjengah ke ruangan komen Facebook Malaysian Modders, ramai netizen mengkritik dan berpendapat nyanyian Raffa kurang merdu. Sementara menjengah komen di akaun Youtube Raffa, ramai pengikutnya memuji kemerduan suara Raffa menerusi ‘cover version’ lagu-lagu hits Malaysia. Bukan itu sahaja, mereka turut memuji bakat yang dimiliki penyanyi seberang ini selain meminta dia membuat lebih banyak lagu ‘cover’.