Semalam kerajaan telah membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
Strategi yang merangkumi empat fasa berbeza itu menyasarkan 60 peratus kadar vaksinasi rakyat Malaysia menjelang November dan Disember tahun ini. Bagi mencapai angka tersebut, kerajaan menerusi kementerian berkaitan telah pun mempercepat kadar vaksinasi kepada rakyat dengan penubuhan lebih banyak pusat vaksinasi dan meningkatkan pemberian dos harian.
Program vaksin perlu telus
Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi laporan Utusan berpendapat Program Imunisasi Covid-19 mesti digerakkan secara menyeluruh agar kelangsungan hidup dapat diselamatkan dengan kadar segera. Johari yang juga merupakan Bekas Kementerian Kewangan II turut berharap program ini dilakukan dengan telus.
Semuanya harus telus dari pembelian dan kelulusan vaksin, pengedaran dan peruntukannya sehingga pelantikan hospital swasta dan pengamal am kesihatan.
Sekiranya kita telus, lebih banyak negara yang akan datang untuk menyokong kita dengan pemberian bekalan vaksin.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu memberitahu rakyat memerlukan kerajaan sementara yang telus dan boleh dipercayai bagi menangani pandemik ini. Selain penyatupaduan semua parti politik di negara ini, Johari turut mencadangkan agar pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai sifat kepemimpinan tinggi dipilih mengemudi negara untuk berdepan sebarang krisis.
Individu ini juga seharusnya tidak memiliki beban politik atau kepentingan diri dan tidak mempunyai niat untuk terlibat secara aktif dalam pilihan raya akan datang.
Selain itu, Johari mencadangkan bahawa kerajaan sementara membuat pelaburan secara besar-besaran bagi memperbanyak unit rawatan rapi di hospital dan membeli peralatan yang diperlukan.