Kalau dilihat, pasangan selebriti bahagia iaitu Vanidah Imran dan Rashidi Ishak memang selalu bersama. Namun, belum pernah lagi ada filem atau mana-mana produksi yang berani menggabungkan kedua-dua pelakon berbakat ini.
Namun, lain bagi Afdlin Shauki, pengarah box-office yang tampil dengan filem baru berjudul “Untuk Tiga Hari”. Baginya, Vanidah dan Shidee adalah pelakon yang paling sesuai untuk ditampilkan bersama. Walaupun Vanidah dan Shidee adalah pasangan suami isteri, namun Afdlin telah memisahkan mereka dengan filem terbarunya yang diadaptasi dari novel Ahadiat Akashah.
Shidee ketika ditemubual memberitahu, “Saya sudah lama tunggu skrip yang akan menggabungkan saya bersama isteri saya. Walaupun saya tak pernah beritahu Vanidah, tapi memang saya menunggu saat ini.”
Bagi Shidee, dia selalu meletakkan “expectation” yang tinggi terhadap dirinya sehinggakan ketika sesi tayangan “Untuk Tiga Hari” bersama para pelakon dan media, Shidee mengambil langkah untuk tidak menonton sekali.
“Saya masih belum tonton lagi hasil filem ini. Saya mahu ‘simpan’ sehingga hari tayangan perdana filem ini bersama peminat,” jelas Shidee.
Lain pula bagi Vanidah Imran, dia mengaku terkejut dan tidak menyangka bahawa Afdlin akan mengambil dia dan suaminya untuk berlakon dalam satu filem.
“Saya terperanjat kerana tak pernah ada orang ambil suami dan isteri berlakon bersama. Saya memang sudah tahu tentang tawaran berlakon ini, tapi apabila diberitahu oleh Afdlin melalui telefon bahawa suami saya akan memegang salah satu watak didalam filem, saya sangat terkejut,” ujar Vanidah Imran.
Anda pasti tidak sabar bukan untuk melihat gandingan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak. Mereka berdua akan muncul dalam filem “Untuk Tiga Hari” yang akan mula ditayangkan pada 20 September ini. Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk menonton filem ini ya!