berita

Remy Ishak Akui Berpisah, Namun Masih Berkawan Baik

September 26th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Baru-baru ini industri hiburan tempatan telah dihangatkan dengan berita mengenai perpisahan antara pelakon kacak, Remy Ishak dan bekas kekasihnya Tiz Zaqyah. Sehubungan dengan berita tersebut, Remy Ishak telah membuat kenyataan kepada pihak media dan mengesahkan berita tersebut.

“Alhamdulillah sekarang ini kehidupan saya semakin baik. Saya rasa dah tak ada apa nak komen berkaitan isu tersebut. Memang hubungan kami sampai di situ sahaja. Tapi kami masih lagi berkawan seperti biasa dan masih lagi shooting bersama,” ujar Remy kepada pihak media semalam.

Pada masa yang sama, Remy turut menyatakan yang dia sudah bersedia dan mengambil keputusan untuk umumkan status perpisahannya kepada umum menerusi laman Twitter kerana, menganggap sudah tiba masanya untuk semua pihak tahu perkara tersebut dan tidak mahu berselindung dengan perkara sebenar.

“Bagi saya semuanya sudah berakhir. Lagipun saya mengambil keputusan untuk membuka mulut kerana, saya fikir sampai bila nak berselindung, lambat laun orang akan tahu juga. Saya tak nak nanti bila masing-masing sudah ada orang lain, peminat akan bercakap dan membuat spekulasi yang bukan-bukan.”

“Saya rasa, status yang saya keluarkan di Twitter adalah kenyataan secara langsung dan saya rasa perkara itu tidak terlalu peribadi. Lagipun semua orang memang tahu sebelum ini saya pernah bercinta dengan Tiz Zaqyah, jadi saya tak kisah untuk berkongsi perkara tersebut kepada orang ramai,” ujar pelakon ini dengan tegas.

Merujuk perkembangan terbaru, filem terbaru Remy Ishak berjudul Hantu Kapcai akan berada di pawagam mulai 27 September 2012 ini. Menerusi filem ini, Remy telah digandingkan bersama barisan pelakon-pelakon yang berbakat seperti Zizan Razak, Fizz Fairuz, Riz Amin, Neelofa, Izzue Islam dan juga Hairulazreen.

SKIP THIS AD ×