berita

REV Asia Sahkan Urus Niaga Dengan Media Prima, Bernilai RM105 Juta!

May 8th, 2017 | by Wan
Kini Trending

KUALA LUMPUR, 8 MEI 2017 – REV Asia Berhad (REV Asia atau Kumpulan), peneraju kumpulan media digital terkemuka Malaysia hari ini mengesahkan urus niaga dengan Youth Asia Sdn Bhd dan Media Prima Digital Sdn Bhd yang menyaksikan anak syarikat mereka, REV Asia Holding Sdn Bhd bakal diambilalih sepenuhnya oleh Media Prima Berhad. Pengambilalihan 100 peratus kepentingan REV Asia Holdings ini pada nilai mencapai RM105 juta.

Fokus kandungan digital

REV Asia Holdings akan menyokong strategi Media Prima yang memfokuskan perkembangan dalam kandungan digital dan platform media. Sebagai salah sebuah peneraju kumpulan media digital di Asia Tenggara, REV Asia mempunyai latar belakang yang kukuh dalam pemasaran secara digital untuk jenama-jenama pengguna terkenal menerusi platform media mereka yang meliputi pelbagai segmen seperti hiburan, gaya hidup, berita bahasa Melayu dan Cina.

Hasil pembelian strategik ini menyaksikan 9.7 juta capaian khalayak oleh kedua-dua pihak di mana ianya satu kejayaan yang luar biasa sekaligus menyaksikan Media Prima tersenarai sebagai syarikat media digital terbesar di Malaysia dibelakang Google dan Facebook yang masing-masing mencatatkan capaian sebanyak 15.7 juta dan 14.1 juta.

Yakin kebolehan Media Prima

Pengurus Besar REV Asia Holdings, Voon Tze Khay berkata:

Kami sangat teruja menyertai keluarga Media Prima dan bekerjasama mengubah landskap media digital di Malaysia. Media Prima merupakan peneraju utama media dan televisyen di negara ini yang mempunyai rekod kejayaan yang sangat baik. Bersama Media prima, kami yakin akan kebolehan bersama untuk meningkatkan lagi capaian dan pada masa yang sama mengekalkan kedudukan sebagai kumpulan media digital nombor satu di Malaysia.

Tambah Tze Khay, beliau berharap proses peralihan ini akan berjalan dengan lancar dan bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Media Prima Digital.

10 tahun lalu, peneraju media cetak majalah perniagaan, Catcha Media menyedari akan potensi digital dan media online. Catcha Media kemudian memulakan langkah strategik apabila membentuk REV Asia Holdings melalui pengambilalihan SAYS.com berjumlah RM60 juta pada 2013. Di bawah pengurusan Tze Khay, REV Asia Holdings telah berkembang maju sehingga mencatatkan jutaan capaian pengguna. Transaksi penjualan ini berjumlah RM105 juta.

Co-founder dan pengarah REV Asia, Patrick Grove berkata, penjualan ini testimoni kepada pengurusan yang baik oleh Tze Khay dan pekerjanya.

Peroleh manfaat sinergi

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Encik Mohamaad Ariff Ibrahim berkata pengambilalihan ini tepat pada masanya kerana kumpulan telah memulakan inisiatif berasaskan digital yang agresif sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada media tradisional.

Kami di Media Prima sepenuhnya yakin dengan kemampuan kandungan digital pada masa hadapan untuk terus berkembang. Strategik pengambilalihan REV Asia Holdings menunjukkan komitmen kami untuk mengambil kesempatan daripada permintaan kandungan digital yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna melalui peluasan jangkauan digital dan seterusnya meningkatkan kecekapan kumpulan dalam pemasaran kandungan digital, serta pemasaran asli iklan digital.

Pengambilalihan ini juga dijangka memesatkan pertumbuhan sumbangan pendapatan daripada platform digital Media Prima dan mengembangkan jangkauan serta platform kami. Ia juga akan menjadikan Media Prima sebagai syarikat media bersepadu dan syarikat media digital terbesar di rantau ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Encik Afiq Razali berkata Media Prima dijangka memperoleh potensi manfaat sinergi kerana kumpulan dapat memperluaskan tawaran media kepada pengguna biasa, pembeli media, pengiklan dan penerbit premium.

Media Prima dijangka memperoleh manfaat yang luas dan menawarkan platform ruang pemasaran digital kepada masyarakat, pengiklan, dan penerbit. REV Asia Holdings merupakan syarikat yang pesat berkembang dan sentiasa mencatatkan keuntungan ketara hasil digital sejak 2015 menerusi segmen berita sosial mereka. REV Asia mempunyai kepakaran dalam pengiklanan berasaskan kandungan asli yang banyak mendapat keuntungan lebih tinggi dan kepakaran mendalam semasa menghasilkan kandungan untuk kumpulan umur sasar, menjadikan satu nilai tambahan untuk Media Prima.

Ini berita positif bagi kumpulan yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan daripada peningkatan kepentingan digital di kalangan pengiklan.

SKIP THIS AD ×