berita

Saingan Sengit, Vokal Mantap! 4 Rookie Bakal Berentap Di Pentas Akhir Vokal Mania

December 25th, 2020 | by Amat
Shout Out!

Setelah lapan minggu bersiaran, Vokal Mania: Hanya Yang Berani, Bakal Menjadi Juara akan melabuhkan tirai dengan menempatkan empat rookie melayakkan diri ke peringkat akhir. Empat rookie ini telah berjaya memberi saingan kepada empat idol dan mereka adalah Danial Chuer, Eranzz Lambert, Alif Kadim dan Aisha Retno.

Artikel berkaitan: Empat Minggu Vokal Mania Bersiaran, Rookie Cipta Sejarah Berjaya Tewaskan 3 Idol

Sudah pastinya keempat-empat finalis rookie ini sudah membuat persediaan dari segi vokal dan persembahan untuk memberi saingan kepada idol. Nak tahu siapa yang bakal dinobatkan sebagai Juara Vokal Mania? Jom saksikan…

Persembahan Danial Chuer

Bakal juara Danial Chuer sebelum ini pernah mendapat pujian dengan persembahannya menerusi lagu Ku Bersuara dan persembahan duet bersama idol Indah Ruhaila menerusi lagu Shallow.

Lagu Sumpah nyanyian asal Aina Abdul yang dipertaruhkan Danial Chuer telah melayakkan dirinya berada di pentas akhir Vokal Mania dan bakal memberi saingan kepada tiga finalis lagi.

Persembahan Eranzz Lambert

Finalis kedua iaitu Eranzz Lambert pada minggu separuh akhir telah mempertaruhkan lagu I Don’t Want To Miss A Thing nyanyian asal Aerosmith membuatkan juri tetap Misha Omar terpaku dengan persembahannya. Misha berpendapat, nyanyian dan persembahan Eranzz Lambert terkawal daripada pembukaan sehinggalah selesai nyanyian. Tambah Misha lagi, dia akan menyukai semangat ‘gila panggung’ Eranzz Lambert setiap kali beraksi di atas pentas.

Finalis ini juga bakal menjanjikan persembahan yang mantap buat anda semua!

Persembahan Alif Kadim

Sementara itu, finalis ketiga iaitu Alif Kadim telah menyampaikan lagu Seniman Menangis di peringkat separuh akhir. Persembahannya ternyata telah memukau barisan juri dan idol. Barisan juri iaitu Yusry KRU dan Misha Omar berpendapat lontaran vokal Alif Kadim memuaskan dan mereka dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh finalis ini. Misha Omar turut menganggap persembahan Alif adalah satu percubaan yang bagus untuk seorang penyanyi baharu.

Alif Kadim juga antara finalis yang sudah menunjukkan taringnya dalam persembahan di peringkat separuh akhir itu. Adakah dia mampu memberi saingan di pentas akhir nanti?

Persembahan Aisha Retno

Aisha Retno juga antara finalis yang bakal memberi saingan sengit dari segi vokal. Tidak dinafikan, nyanyian Aisha menerusi lagu Hurt telah memikat hari juri dan idol dengan kekuatan vokalnya.

Misha Omar mengakui Aisha telah menguasai pelbagai teknik nyanyian dan dia mempunyai kelebihan lain sebagai penyanyi wanita. Walau bagaimanapun nyanyian Hurt ini dianggap kurang kemas dan ada beberapa bahagian yang perlu digilap lagi.

Aisha Retno sebelum ini telah berjaya menewaskan idol Tomok pada minggu pertama. Adakah minggu Akhir Vokal Mania ini akan Aisha berikan sesuatu yang menarik? Sama-sama kita nantikan…

Saingan hebat 4 rookies

Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Vokal Mania bagi tahun ini? Adakah rookie dapat memberi saingan kepada idol? Jangan lupa untuk saksikan episod akhir Vokal Mania pada Sabtu, 26 Disember 2020 ini jam 9.00 malam.

Anda boleh saksikan persembahan menarik secara siaran langsung di TV3 atau tonton.com.my.

SKIP THIS AD ×