Kemunculan semula pelakon dan pengacara jelita, Che Puan Sarimah dalam industri lakonan dilihat berjaya mendatangkan ‘immediate impact’ apabila watak ‘Qaidah’ yang dilakonkannya menerusi drama ‘Lelaki Itu’ mendapat pujian penonton.
Terbaharu, Sarimah mendedahkan dia telah menghabiskan kira-kira RM50,000 dengan menggunakan wangnya sendiri hanya semata untuk menjayakan watak ‘Qaidah’.
Artikel Berkaitan: Che Puan Sarimah Ibrahim Kumpul Tenaga Selama Setahun Untuk Drama Lelaki Itu – ‘Watak Sharifah Qaidah Agak Kompleks’
Proses merealisasikan watak
Ketika ditemui OhBulan!, Sarimah atau nama sebenarnya Sarimah Ibrahim berkata, inisiatif tersebut dilakukan kerana mahu memastikan watak ‘Qaidah’ itu dapat direalisasikan mengikut kehendak yang diminta pengarah dan penerbit.
Masa bawa watak ‘Qaidah’, kebanyakan pakaian saya (sediakan sendiri).
Bahagian ‘wardrobe’ ada sediakan (pakaian) untuk babak tertentu, tetapi saya dah memikirkan bahawa untuk karakter macam ‘Qaidah’ ini, dia akan ‘kekwat’ (berlagak) tentang baju dia.
Jadi, saya pun terpaksa jadi ‘kekwat’ tentang baju. Untuk itu, kalau kita nak buat betul-betul, kita buat betul-betul. Jadi, boleh dianggarkan kira-kira RM50,000 juga saya berhabis demi Qaidah, seorang wanita sangat berdikari yang kaya.
Sarimah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pengamal media yang diadakan di Pullman Hotel Kuala Lumpur City Centre, baru-baru ini.
Selain daripada pakaian, pelantun lagu ‘Kini Kau Tiada’ ini turut membelanjakan wang tersebut untuk penyediaan lain seperti alat solekan, kecantikan kulit dan banyak lagi.
Banyak faktor terlibat dalam menjayakan satu watak sebenarnya. Dari segi penampilan, ‘gym’ (latihan kecergasan), baju, rambut, penghayatan, suara, cukup tidur, disiplin dengan masa, pastikan kulit cerah, kuku cantik dan semuanya cantik.
Kalau kita ‘list’ (senarai) benda itu, nampaklah. Tapi, kalau tengok saja, orang boleh anggap benda itu dah senang. Namun, itulah prosesnya untuk merealisasikan setiap watak. Bagi drama akan datang pun, saya dah mulakan persediaan awal.
Sekadar info, watak ‘Qaidah’ yang dibawakan oleh Sarimah menerusi drama ‘Lelaki Itu’ berjaya menghasilkan impak yang kuat apabila berjaya meraih lebih 3 juta jumlah tontonan setiap episod dan lebih 1 bilion carian di media sosial.
Selain Sarimah, drama ‘Lelaki Itu’ turut dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Nur Fazura, Nabila Huda dan ramai lagi.