Peguam mewakili Fattah Amin iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya bakal memfailkan semula permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isteri, Nur Fazura.

Artikel Berkaitan: Permohonan Fattah Ditolak Mahkamah, Fazura Tidak Langgar Hak Lawatan Fatima

Artikel Berkaitan: Individu Terpesona Dengan Kecantikan Fazura, Sifatkan Angelina Jolie ‘Level’ Biasa – ‘Sangat Cantik, Bergetar Jantung’

Fail semula

Menurut Akberdin, permohonan semula itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menolak permohonan Fattah berhubung hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya pada 31 Mac lalu.

Akberdin memaklumkan anak guamnya mengalami kekangan untuk bertemu dengan Fatima yang kini berusia enam tahun sejak bercerai.

Saya dimaklumkan Fazura telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, antaranya tidak menunaikan janji untuk memberikan hak lawatan Nur Fatima kepada bapanya dengan alasan berada di London.

Malah Fattah mendakwa sejak bercerai dia mengalami kesulitan untuk bertemu puteri tunggalnya, namun masih bersabar dengan sikap bekas isterinya itu yang kerap memberi alasan hingga anak guamnya sukar bertemu dengan anak kandungnya. 

Menurut Akberdin, kegagalan itu terjadi apabila Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim menghendaki pihak Fattah melengkapkan dan memperincikan beberapa aspek terlebih dahulu.

Sehubungan itu, permohonan kebenaran secara ex parte terhadap Fazura perlu difailkan semula.

Selepas banyak kali bagi muka, Fattah terpaksa melantik saya untuk memfailkan permohonan ini supaya perjanjian yang telah dipersetujui di mahkamah sebelum ini dipatuhi dan dihormati. 

Penolakan yang dibuat mahkamah pada 31 Mac lalu bukan muktamad, tetapi masa prosiding dijalankan hakim beritahu ada beberapa perkara yang tidak jelas dan minta diperincikan serta difailkan semula.

Mengulas lebih lanjut, Akberdin menyatakan bahawa Fattah masih mempunyai hak untuk melawat anaknya meskipun hak penjagaan penuh telah diberikan kepada Fazura.

Hak tersebut termasuk bermalam dua kali sebulan serta bertemu tiga kali seminggu.

Namun, jelas Akberdin, setiap kali Fattah berusaha melaksanakan tanggungjawabnya, hak tersebut didakwa sering dihalang akibat pelbagai alasan sekali gus memaksanya mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan hak yang sewajarnya.

Pihak kami akan fail semula dalam masa terdekat kerana Fattah sudah cukup bertolak-ansur selama ini.

Kali ini dia mahu mahkamah menentukan apa yang terbaik untuk menuntut haknya sebagai bapa kepada Nur Fatima.

Hak lawatan yang sepatutnya diberikan kepada Fattah perlu dipatuhi oleh bekas isterinya. Jika tidak, pihak kami boleh memfailkannya di mahkamah.

Terdahulu, Fattah gagal mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya berhubung pertikaian hak lawatan terhadap anak mereka.