Semua sedia maklum bahawa Anne Ngasri,28 dan Aliff Aziz, 21 kini sedang hangat dilamun cinta. Bagi Aliff, umur dan status Anne sebagai ibu tunggal tidak menjadi penghalang untuk mereka menjalinkan hubungan cinta dan Aliff tidak menolak untuk meneruskan episod bahagia ini ke jinjang pelamin suatu hari nanti.
Menerusi Utusan Online semalam, Aliff percaya bahawa cintanya terhadap Anne adalah ikhlas. Meskipun hubungan cinta pasangan ini dihimpit pelbagai kontroversi, Aliff tetap menerimanya dengan hati yang terbuka dan cuba berlaku jujur dengan para peminatnya.
“Jujur saya katakan saya ikhlas dalam hubungan ini. Namun saya percaya bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Bagi mereka yang tidak menyokong hubungan ini saya tidak mampu lakukan apa-apa selain meminta mereka berhenti berbicara buruk mengenai kami,” ujar Aliff Aziz.
Disamping itu, Aliff turut mengaku bahawa ibunya juga sangat senang dan tiada masalah untuk menerima Anne sebagai calon menantu.
“Apabila dia (ummi) bertemu dengan Anne, seperti terdapat kesinambungan di dalam hubungan itu. Saya sangat yakin ummi tidak mempunyai masalah untuk menerima Anne,” kata Aliff yang memanggil Anne dengan gelaran “sayang.”