berita

Sharifah Sofia Takut Salah Faham Soal Agama

September 27th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Kebelakangan ini amat jarang kita melihat kemunculan wajah cantik Sharifah Sofia di kaca televisyen mahupun layar perak. Oleh itu, sewaktu bertemu di majlis pelancaran rekaan terbaru jenama pakaian Cosry petang semalam, pihak OHBULAN! telah menghampiri Sharifah Sofia dan mendapatkan kenyataan mengenai perkembangan terbaru dirinya.

“Sebenarnya Sofia memang rindu sangat nak berlakon dan Insyallah mungkin akan datang Sofia akan cuba buat come back. Tapi buat masa sekarang Sofia ingin berikan sepenuh perhatian pada anak. Kalau nak ambil tawaran berlakon pun kena tengok masa dan watak dia juga.”

“Disebabkan sekarang ini Sofia dah bertudung, tentunya watak yang bakal Sofia lakonkan akan berubah sepenuhnya. Oleh itu, Sofia merasa sangat teruja untuk berlakon dan ingin merasa pengalaman memegang watak baru,” ujar Sharifah Sofia.

Disamping itu, Sharifah Sofia akui amat sukar untuk memberikan sepenuh komitmen dalam bidang lakonan memandangkan dia kini sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil. Pelakon ini juga dikatakan sukar menerima tawaran berlakon untuk drama berepisod, kerana kerja tersebut memerlukan masa yang lama di set penggambaran.

Apabila diajukan soalan berhubung isu kontroversinya yang sebelum ini pernah mengunjungi kelab malam dengan memakai hijab, sambil tersenyum Sharifah Sofia menyatakan dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut dan menganggap ia telah lama berlalu.

“Tak nak cakap pasal isu kelab malam itu lagi. Apa yang dah berlaku, biarkan je la. Lagipun benda tu berlaku dua bulan lepas, dah basi. Biarlah orang nak nilaikan isu tersebut macam mana. Sekarang saya nak maju ke hadapan dan lupakan semuanya,” ulas Sharifah Sofia kepada pihak media.

Pada masa yang sama, Sharifah Sofia turut melahirkan hasrat untuk lebih mencari ilmu pengetahuan dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidupnya.

“Sofia nekad nak cari ilmu pengetahuan dan ingin rujuk kepada mereka yang arif berkaitan soal agama. Sofia tak nak belajar sendiri, takut tersalah faham nanti susah. Tapi apa pun Sofia akan selalu rujuk kepada Al-Quran. Sebelum ini Sofia kenal ramai orang yang belajar agama tapi mengamalkan ilmu hitam, jadi Sofia nak elakkan perkara-perkara macam tu.”

“Sekarang ini Sofia nak berfikiran positif untuk segala aspek. Jadi, untuk sebarang benda negatif, Sofia tak mahu komen,” ujar Sharifah Sofia sebelum mengakhiri sesi temubual bersamanya petang semalam.

SKIP THIS AD ×