Penyanyi Ryan Deedat bersama Sharkmanz, The Iman Ali, Abam Panda, Papa Ayie, Yuna Zainal, Lisa H dan Nuriqin Leyda dilantik menjadi wajah pempengaruh KahwinFest 2025.

Artikel Berkaitan: Ryan Deedat Elak Hutang, Kukuhkan Kewangan Sebelum Berkahwin

Artikel Berkaitan: ‘Tak Semua Mampu Bertahan Lama Dalam Industri, Pelajaran Sangat Penting Dalam Kehidupan’ – Ryan Deedat

Perkahwinan dekat dengan diri

Menurut Ryan, dia menerima tawaran tersebut kerana kebanyakan lagu nyanyiannya bertemakan cinta dan perkahwinan.

Pertama sekali, saya rasa isu perkahwinan ini sangat dekat dengan diri saya. Saya pernah menjadi duta untuk sebuah syarikat barangan perkahwinan, jadi apabila saya dilamar untuk terlibat dengan KahwinFest, saya memang sangat teruja.

Tambahan pula, banyak lagu saya sebelum ini bertemakan cinta dan perkahwinan, jadi ini memang sesuatu yang cukup bermakna buat saya.

Tahun ini juga saya diberi peluang untuk menyanyikan lagu tema rasmi Kahwin Fest, jadi terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur atas kepercayaan ini.

Kata pelantun lagu Kena Sidai yang kini sedang menjalinkan cinta dengan seorang model, dia juga ingin ‘survey’ untuk mahligai yang bakal dibina.

Siapa tahu rezeki jodoh saya juga tertulis di KahwinFest nanti. Saya dengar banyak booth dan tawaran menarik dekat sana, jadi mungkin saya pun boleh ‘tersangkut’.

Kita tengok-tengok dulu.. Mana tahu, insyaAllah, ada la nanti ya!

Tiga hari berkampung

Sementara itu, Pengarah QALAM Management, Sham Amir, KahwinFest 2025 berkata KahwinFest bakal menggegarkan Dewan Raja Muda Musa (DRMM), Shah Alam, Selangor selama tiga hari berturut-turut bermula 1 hingga 3 Ogos ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

Lebih mengujakan, ekspo anjuran QALAM Management ini menawarkan hadiah utama berupa lokasi majlis Kahwin, Grand Oasis Inspire Hall di Seri Kembangan mencecah nilai RM21,000.

Hadiah utama rebutan cabutan bertuah itu layak direbut pengunjung ekspo yang membuat tempahan minimum RM100 bagi mana-mana vendor yang terbabit.

Selain itu, hadiah menarik lain yang bakal dimenangi menerusi Cabutan Bertuah KahwinFest 2025 ialah percutian dua hari satu malam di Pulau Langkawi tajaan VC Venture.

Tak ketinggalan pakej rawatan spa tajaan Skin Vogue Medispa bernilai RM200 dan RM500, E-Kad Mewah (Ikriza Enterprise), 10 set butang baju Melayu (Kedai Emas Sri Perak) dan 30 sesi fotografi studio Exit Friendzone.

Hadiah cabutan bertuah lain termasuklah set memasak dan pembersih vakum dari Meronco Studio, wang tunai dari Zai Sri Gemilang dan mesin pengisar 1250 ml tajaan Mak Ngah Catering dan pelbagai lagi istimewa dari vendor-vendor KahwinFest.

Kata Sham Amir lagi, sebanyak 1,000 beg tote eksklusif tajaan Medina Craft juga akan diberikan secara percuma kepada pengunjung terawal setiap hari ekspo berlangsung.

Masuk adalah percuma dan ruang parkir juga disediakan tanpa caj. Ia sekaligus menjadikan ekspo kahwin ini lokasi ideal untuk merancang majlis hari bahagia tanpa tekanan dan bajet tinggi.

Menariknya, lebih 100 vendor perkahwinan terkemuka akan turut serta dalam ekspo ini dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan lengkap untuk bakal pasangan mempelai dari busana pengantin, katering, pelamin, jemputan Kahwin, jurugambar, barang kemas serta cenderahati.

Kami turut berbesar hati kerana ekspo ini mendapat sokongan padu penaja dari dekorasi pentas utama, Ginger Dutch Galleria, Hias Cempaka (dekorasi pintu masuk) dan katerer rasmi Kumpulan Enak Rasa.

Penaja lain termasuklah Faridism Production, Damoora,Yellow Hello dan minuman rasmi Kopi Kenduri MY.

Dalam pada itu, tambah Sham Amir, ekspo ini turut menampilkan selebriti media sosial dan aktiviti pentas sepanjang hari.

Pempengaruh yang terbabit ialah Asyuu Vianaa dan Azam Zainal masing-masing bertindak sebagai pengacara.

Aktiviti pentas pula bakal menyajikan persembahan tarian Arcisa Girls, Disko Santan, gamelan dan banyak lagi.

Sumber: Instagram