Saksi kedua membabitkan kes amang seksual fizikal oleh pendakwah selebriti Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias akui tidak percaya bahawa tertuduh yang merupakan seorang ustaz boleh melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.
Artikel Berkaitan: Saksi Ketujuh Dedah PU Azman Minta Seks Oral Sehingga….
Artikel Berkaitan: Saksi Dakwa PU Azman Minta Mangsa Cium, Buat Seks Oral
Anak lelaki jadi mangsa amang seksual fizikal
Menurut bapa mangsa, dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh seorang wanita bergelar ustazah dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Shah Alam pada 27 Ogos tahun lalu. Difahamkan, guru agama tersebut pula mengetahui insiden terbabit daripada mangsa. Tambah lelaki ini lagi, anaknya tidak pernah menceritakan kepadanya kejadian yang berlaku.
Yang beritahu berlaku maksiat itu ustazah dan dia turut beritahu anaknya juga jadi mangsa. Saya terkejut, marah dan tak sangka dia (tertuduh) sanggup buat perkara yang dilarang.
Saya tak pernah kenal ustazah itu melainkan isteri saya dan kali pertama berjumpa dengannya ketika di hotel.
Dakwa lelaki yang berusia 54 tahun ini lagi, anaknya juga sudah lama mengenali PU Azman iaitu sejak dibangku sekolah rendah lagi iaitu selepas mengikuti kem motivasi dikendalikan tertuduh.
Saya tahu mereka rapat dan ada berhubung, tapi tidak pasti sejauh mana. Kali pertama saya jumpa PU Azman ketika saya bersama isteri dan tiga anak lain hantar anak lelaki (mangsa) ke rumahnya di Sendayan pada 5 Februari 2022.
Dia (mangsa) sendiri minta hantar ke sana sebab jauh dari rumah kami di Klang.
‘Saya tak percaya, ustaz tak akan buat benda maksiat’
Tambah saksi lagi, dia tidak mengesyaki apa-apa selepas menghantar anak lelakinya bermalam di rumah PU Azman malah dia sempat meminta penceramah bebas itu supaya menasihati dan membimbing anaknya.
Saya tidak percaya benda ini berlaku kerana seorang ustaz tidak akan buat benda maksiat seperti ini. Ustaz akan mendidik anak bangsa menjadi ummah yang baik.
Difahamkan, seramai 26 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan kes yang ditetapkan sehingga 28 Julai.
Terdahulu iaitu pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai pada 6 Julai tahun lalu. Selain itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan lain berhubung kesalahan jenayah seksual di Mahkamah Ampang, Klang dan Shah Alam.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian