Setelah hampir tiga minggu membuat jelajah di bahagian Utara, Pantai Timur dan Selatan, akhirnya skuad Seindah Kasih x Jom Ronda melabuhkan tirai di bahagian Lembah Klang, Gombak, Sepang dan Bangi. Pada kali ini, personaliti REV Media Group yang turut serta ialah Shafika Suhaimi, Petchmono, Anne Kamaruddin dan Danial Nawawi. Ini merupakan kali pertama mereka menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan semestinya mereka merasa teruja untuk turun padang bertemu dengan orang ramai.
Artikel Berkaitan: Seindah Kasih: Pengalaman Berharga Kongsi Rezeki Dengan Orang Ramai
Artikel Berkaitan: Dunia Hiburan Penuh Glamor? Seindah Kasih Angkat Kisah Kehidupan Sebenar Pengamal Media
Artikel Berkaitan: Lagu ‘Seindah Kasih’ Hasil Gabungan Dua Penyanyi Berbeza Genre
Untuk lokasi yang pertama, Skuad Seindah Kasih telah pergi ke Hentian Duta untuk menyebarkan pek iftar. Di mana mereka berpeluang untuk bertemu rakyat Malaysia yang ingin pulang ke kampung halaman. Bukan itu sahaja, mereka juga turut mengedarkan iftar pek kepada peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja di sana. Selepas itu, skuad Seindah Kasih ke lokasi kedua, iaitu Balai Bomba Taman Tun Dr Ismail dan akhir sekali di Bazaar Ramadhan Sungai Penchala.
Hari kedua pula, kami turun ke kawasan Shah Alam pula. Masih dengan misi yang sama, iaitu mengedarkan iftar pek kepada orang ramai. Lokasi pertama kami adalah di UTC Shah Alam, PKNS Shah Alam dan Bazaar Ramadhan Stadium Shah Alam. Lokasi terakhir kami di bazaar merupakan lokasi terakhir kami mengedarkan pek iftar, kerana pada keesokan harinya, kami akan ke lokasi berbeza serta aktiviti yang berlainan.
Lokasi untuk hari ke-tiga ialah di Campsite Darul Ilmi, Gombak. Antara aktiviti yang skuad Seindah Kasih lakukan pada hari kejadian ialah sesi gotong-royong membersihkan kawasan sekitar campsite tersebut dan juga ramah mesra bersama dan acara berkumpulan bersama pelajar UIAM.
Seterusnya, pada esok hari skuad Seindah Kasih meneruskan perjalanan ke Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah, Sepang. Antara aktiviti yang dilakukan ialah gotong-royong membersihkan kawasan, sesi ramah mesra artis-artis bersama anak-anak yatim dan juga menyediakan juadah iftar bersama-sama.
Setelah empat hari melakukan jelajah di sekitar Lembah Klang, Gombak dan Sepang, masjid UKM Bangi merupakan lokasi terakhir skuad Seindah Kasih x Jom Ronda. Lokasi terakhir istimewa sedikit, kerana dari seawal 9 pagi pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama skuad Seindah Kasih menyediakan menu-menu untuk berbuka puasa seperti bubur lambuk, dodol, ayam masak lemak, daging masak hitam dan sebagainya. Para artis seperti Azrel Ismail, Tajul, Siti Saleha dan Luqman Hafidz juga turut terlibat dalam aktiviti di lokasi terakhir.
Bagi personaliti-personaliti REV Media Group, ini merupakan pengalaman paling berharga buat mereka, kerana bukan sahaja mereka dapat berkongsi rezeki. Malah, mereka juga dapat turun padang untuk mendekati orang ramai, serta menyantuni penghuni-penghuni di rumah anak-anak yatim dan juga di masjid. Semoga aktiviti diteruskan dan diperbanyakkan di masa akan datang. Selamat hari raya!