berita

Selain 1GB Internet Percuma & E-Dompet RM50, Ini Manfaat PENJANA Yang Anda Perlu Tahu

June 9th, 2020 | by Wan
Kini Trending

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan tujuan memacu kembali ekonomi  Malaysia ekoran wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Di bawah pelan ini, kerajaan telah mengenalpasti tiga teras utama akan diberi perhatian iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi. Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA. Manakala RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan.

Berikut adalah rangkuman senarai pelan PENJANA

1) IGB Internet Percuma Setiap Hari

Bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang, rakyat Malaysia akan dibekalkan dengan 1gb internet percuma untuk melayari laman web berkaitan pendidikan, produktiviti (aplikasi persidangan video) dan berita oleh syarikat telekomunikasi yang terlibat. Ia termasuk penggunaan percuma tanpa had bagi aplikasi COVID-19 yang diusahakan kerajaan dan akses kepada laman web KKM dan kementerian lain.

2) Pas Bulanan Perjalanan MY30

Bagi meringankan bebas rakyat terutamanya bagi mereka yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan perkhidmatan awam seperti tren dan bas, kerajaan memperkenalkan pas perjalanan bulanan tanpa had pada kadar RM30 sebulan bagi penggunaan perkhidmatan re (MRT, LRT, Monorel), BRT, bas RapidKL dan bas pengantara MRT di Lembah Klang.

3) E-dompet RM50

Bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan bayaran tanpa sentuh, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet rakyat Malaysia. Menerusi inisiatif ini, orang ramai juga akan mendapat tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.

Orang ramai dikehendaki memuat turun aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan RM50 ini yang dijangka dikreditkan pada Julai.

4) Pengecualian Cukai kereta

Bagi merancakkan lagi sektor automotif negara, kerajaan akan mengecualikan cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus bagi model pemasangan import (CBU). Ini bermakna harga kereta dijangka akan mengalami penurunan antara 3-9% berdasarkan pengiraan cukai jualan yang perlu diketepikan oleh pengeluar.

5) Bantuan Ibu Tunggal, OKU

Golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal akan menerima bantuan sekali beri atau ‘one-off’ sebanyak RM300 bagi meringankan beban golongan tersebut berdepan impak COVID-19.

Bantuan kewangan tersebut akan disalurkan selewat-lewatnya sebelum Aidiladha.

6) Subsidi Penjagaan Anak

Bagi memudahkan pekerja yang bekerja dari rumah, kerajaan akan membantu ibu bapa melalui subsidi dan insentif perbelanjaan perkhidmatan penjagaan anak termasuklah pemberian e-Baucar bernilai RM800 untuk mendapatkan pengasuh secara dalam talian dan ia boleh dituntut sehingga penghujung Ogos 2020.

Bukan itu sahaja, geran secara ‘one-off’ sehingga RM5,000 juga disediakan kepada pengendali taska yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sehingga 31 Disember 2020 untuk memenuhi SOP penjagaan kesihatan baharu.

7) Rebat Cukai Kepada PKS

Kerajaan bersetuju memberi rebat cukai pendapatan sebanyak RM20,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi mulai 1 Julai ini sehingga 31 Disember 2021.

Rebat ini sekaligus dapat membantu 900,000 syarikat PKS dan usahawan tempatan termasuk menggalakkan penubuhan entiti baharu PKS.

8) Pelepasan cukai barangan komputer

Menerusi inisiatif PENJANA, kerajaan juga telah mengumumkan pelepasan cukai untuk kelengkapan ICT sehingga RM5,000 kepada pekerja. Ia diguna pakai kepada majikan yang ingin menyediakan kelengkapan tersebut kepada pekerja mereka. Peralatan ICT yang dimaksudkan seperti telefon pintar, laptop, ataupun tablet.

Sementara itu pelepasan khas cukai pendapatan sehingga RM2,500 akan diberikan ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet bermula 1 Jun 2020.

9) Pelepasan cukai perbelanjaan melancong dilanjutkan

Bagi menggalakkan rakyat tempatan melancong di dalam negara, cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Kerajaan turut memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA sebagai inisiatif transformasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.

10) Skim Kesihatan PEKA B40

Kerajaan menggandakan peruntukan sedia ada seperti programPEKA B40 kepada RM100 juta untuk membiayai empat kemudahan kesihatan kepada golongan B40. Empat kemudahan tersebut adalah saringan kesihatan, bantuan alat pernafasan, insentif rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan bagi kesihatan.

11) Pembiayaan mikro PENJANA

Kerajaan akan mewujudkan pembiayaan mikro Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional bagi pembiayaan sebanyak RM400 juta.

Daripada jumlah itu, RM50 juta akan dikhususkan untuk usahawan wanita.

12) Memperkasa Pengusaha Bumiputera

Dalam usaha untuk memperkasakan pembabitan Bumiputera dan memastikan kelangsungan dalam bidang perniagaan dan keusahawan, kerajaan memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM500 juta bagi tujuan sedemikian.

Pembiayaan sebanyak RM200 juta akan ditawarkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) manakala RM300 juta akan disalurkan kepada MARA di mana usahawan Bumiputera termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja.

https://www.youtube.com/watch?v=QDK8LBOKPQw

Baca text penuh ucapan Perdana Menteri mengenai PENJANA di sini

SKIP THIS AD ×