Hati isteri mana tidak rasa sedih dan sunyi saat kehilangan suami tersayang buat selama-lamanya. Berita pemergian Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan pasti undang sayu buat segenap keluarga, peminat muzik pop yeh yeh dan industri hiburan tanah air.
Keadaan ini turut dirasai isteri, Datin Fadilah Mansor sangat bersedih atas pemergian suaminya itu dan dia mengakui hubungan dengan anak-anak arwah sangat baik.
Terlalu banyak kenangan indah
Pelakon veteran itu meluahkan tidak berharap apa-apa selepas pemergian Allahyarham A. Rahman Hassan dan berhasrat untuk berpindah keluar dari kediaman sekarang. Tambahnya, hubungan dengan anak-anak arwah suami tetap baik dan mereka amat menghormati sebagai ibu.
Saya tidak berharap apa-apa daripada pihak arwah suami. Tidak mungkin saya boleh tinggal di kediaman kami kerana terlalu banyak kenangan indah dengan abang. Saya masih bersedih dengan kehilangan ini dan akan sentiasa mengenang detik indah kami bersama.
Kagum dengan kebolehannya
Fadilah Mansor juga mengakui sifat keperibadian suaminya itu sangat baik dan berjiwa penyayang. Dia turut berkongsi kisah-kisah terindah antara hubungan mereka berdua.
Abang sangat menyayangi saya. Setiap masa dia berusaha ambil hati saya. Satu lagi sikap terpujinya ialah dia pandai ambil hati orang. Apa sahaja yang saya atau anak saudara masak untuknya, dia akan puji dan ucap terima kasih.
Saya juga banyak belajar daripada abang terutama bagaimana untuk menyatukan keluarga. Memang terbaik dan saya amat kagum dengan kebolehannya.
Arwah tetap bersemangat
Apa yang lebih indah lagi apabila Syawal pada tahun ini mereka sekeluarga sempat beraya di kampung halaman di Johor atas permintaan arwah.
Ketika dimasukkan ke hospital pada Ramadan lalu, Allahyarham ada menyuarakan hasrat pulang ke Johor melawat adik arwah ayahnya yang sudah berusia 87 tahun.
Walaupun ada masalah paru-paru berair dan lemah jantung, arwah tetap bersemangat terutama ketika tiba di rumah ibu saudaranya di Larkin, Johor.
Alhamdulillah, hajatnya untuk bertemu sanak saudara menjadi kenyataan pada hari raya kedua. Ramai datang menziarahinya di hotel yang menjadi tempat penginapan kami sekeluarga.
Sumber: Metro