Penyanyi, Shiha Zikir mengakui dirinya cakna dengan kritikan yang dilemparkan segelintir netizen mengenai penglibatannya yang sering kali berjaya melayakkan diri ke pentas saringan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Artikel Berkaitan: #SFMM38: Khai Bahar Pikul Tanggungjawab Tiga Komposer
Hanya akan berikan yang terbaik
View this post on Instagram
Walau bagaimanapun, ketika ditemui OhBulan!, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya merupakan ‘anak emas’ program kerana sering tercalon dalam saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik.
Ada yang cakap saya saban tahun masuk AJL. Saya fikir bukan begitu. Sebenarnya bukan saban tahu, kali pertama saya masuk AJL pun sebab saya ganti Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sebelum itu, beberapa lagu saya sendiri hanya berjaya pada peringkat SFMM.
Kali pertama saya masuk AJL melalui lagu AEWO bersama dengan Noki disusuli dengan lagu Irama yang bersaing tahun lalu. Itu sahaja, baru dua kali saya masuk AJL.
Saya tak menang pun, saya hanya menang kategori persembahan terbaik pada AJL 37 melalui lagu Irama.
Shiha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media hari pertama konsert Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM 38) yang diadakan di Studio Natseven yang bertempat di Glenmarie, Shah Alam.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Makrifat Cinta’ mengakui tidak terkesan langsung dengan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh segelintir pihak sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam persembahan.
Ada orang tunjuk pada saya ciapan dari aplikasi X itu tapi secara jujurnya saya terbuka menerima komen-komen tersebut.
Sebagai contoh dia kata akaun Instagram (IG) saya megah dengan followers tapi kurang dari segi ‘engagement’. Saya tak nafikan apa yang diperkatakan itu cuma bila orang tanya saya jawapan, saya tak boleh jawap sebab ini berada di luar kawalan saya.
Dari dulu sampai sekarang, konsep saya sama sahaja iaitu saya sangat pentingkan kualiti berbanding kuantiti.
Selagi mana saya berada di atas pentas, saya akan buat sehabis baik saya.
Tambah Shiha, dia sentiasa bersyukur kerana rezeki yang diterimanya tidak pernah putus meskipun dirinya sering dikecam segelintir wargamaya.
Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 36 tahun itu menitipkan ucapan terima kasih buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan buatnya.
Alhamdulillah, rezeki saya ada tanpa perlu buat sesuatu yang bukan diri saya. Selama ini, saya tidak reka kontroversi untuk menaikkan nama. Cuba tengok dari dahulu sampai sekarang, saya tidak pernah buat. Kalau ada pun, saya selesaikan dengan cepat.
Bagi netizen, saya harap mereka cuba muat naik komen yang mampu mendidik khalayak berfikir positif. Sokong semua orang, usah pertikai kenapa artis itu boleh masuk SFMM.
Sekadar info, Shiha mempertandingkan dua buat lagu iaitu Tusuk dan Kalam hasil ciptaannya bersama Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat di pentas SFMM 38.
SFMM38 bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari 15 Disember 2023 hingga 17 Disember 2023, pukul 3.00 petang dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.