Seiring usia, manusia juga berubah mengikut perkembangan masa. Perubahan ke arah yang lebih baik sudah tentunya patut menjadi matlamat setiap orang. Penghijrahan artis dan selebriti sentiasa mendapat perhatian netizen dan peminat yang mengikuti perkembangan mereka sejak awal karier.
Terbaru, penyanyi lagu Teringin, Shima sudah muncul dengan imej terbaru selepas berhijrah. Pasti ramai yang terkejut melihat perubahan 180 darjah penyanyi popular tahun 90-an itu.
Jual baju seksi
Tiada lagi imej berambut pendek ala rocker sezaman dengannya, Shima kini selesa bertudung labuh. Dia juga membuat keputusan menjual baju-baju seksi miliknya yang dipakai sebelum ini.
Dia nekad menukar gaya hidup ke arah lebih berpandukan syariah setelah mengerjakan umrah akhir bulan lalu. Tambahnya dia tidak merasakan ada tujuannya lagi untuk terus menyimpan baju-baju berkenaan.
Saya menyanyi sejak berusia 19 tahun, jadi terlalu banyak baju seksi terutama ketika menyanyi di kelab malam yang masih disimpan.
Bagaimanapun, buat apa saya menyimpan baju itu, sedangkan saya sudah berubah imej bertudung. Selain memenuhi ruang almari, ia pun tidak muat untuk dipakai lagi.
Simpan memori dalam hati
Ujarnya lagi, selain menjual, dia juga menghadiahkan baju-baju berkenaan kepada rakan-rakan yang memerlukan. Dia menegaskan bukan mahu menyingkirkan kenangan dengan baju itu namun lebih memilih menyimpannya di dalam hati.
Lebih baik saya jual dan hadiahkan kepada teman-teman yang memerlukan. Saya mula menjual baju ini ketika mengikuti program Umrah Bersama Penggiat Seni di Tanah Suci lagi.
Alhamdulillah, ramai yang mahu membelinya kerana saya jual murah.
Bukannya mahu membuang kenangan baju itu, tetapi biarlah memori itu tersemat dalam hati saja. Saya percaya ramai penyanyi baharu yang memerlukan baju, tetapi tidak mampu membeli baju yang mahal harganya.
Sumber: Berita Harian