Thailand berdepan pergolakan politik apabila sebilangan rakyat yang diketuai oleh golongan muda memberontak mempersoalkan peranan institusi monarki. Umum sedia maklum, negara Thailand mengamalkan monarki berpelembagaan di mana kuasa raja dihadkan oleh perlembagaan bertulis menyebabkan sistem perundangan negara itu ‘dikuasai’ oleh raja.
Artikel berkaitan: Raja Thailand Dikuarantin Di Jerman Bersama 20 Gundik
Apakah yang sudah berlaku di Thailand sehingga rakyat mula ‘mengganas’ dan tidak berpuas hati dengan sikap raja Thailand iaitu Maha Vajiralongkorn?
Bhumibol raja Thailand yang disayangi
Kiri: Bhumibol Adulyadej. Kanan: Maha Vajiralongkorn
Semasa dibawah pemerintahan Bhumibol Adulyadej pada 1946 hingga 2016, rakyat Thailand hidup aman damai tanpa sebarang protes terhadap sistem pentadbiran negara. Mendiang Bhumibol Adulyadej mempunyai seorang isteri iaitu Sirikit dan empat orang anak termasuk Maha Vajiralongkorn, Sirindhorn, Chulabhorn dan Uboi Ratana.
Mendiang telah meninggal dunia pada 13 Oktober 2016 pada usia 89 tahun. Pemergian mendiang menjadi salah satu kehilangan yang sangat besar buat rakyat Thailand. Bhumibol disifatkan seorang raja berhati rakyat, segala kebajikan rakyat diambil berat olehnya. Misalnya, mendiang akan turun padang memantau keadaan dan rakyat sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir.
Pemergian ditangisi
Kematian mendiang Bhumibol pada 13 Oktober 2016 menyaksikan sebahagian besar rakyat Thailand berdukacita dan menangis. Bumi Thailand itu berkabung hitam selama setahun bagi menghormati pemergiannya. Tidak dinafikan, sebahagian besar rakyat Thailand sanggup bermalam di perkarangan istana. Mereka juga membawa bersama gambar Bhumibol sebagai tanda ingatan buat raja yang disayangi.
Sepanjang setahun berkabung, rakyat kelihatan cuma memakai baju berwarna kuning, merah jambu, putih dan hitam sahaja. Ini adalah warna-warna yang disukai dan sesuai untuk upacara berkabung pemergian seseorang.
Kehidupan Vajiralongkorn
Setelah Bhumibol Adulyadej menghembuskan nafas, takhta sebagai raja Thailand secara tidak langsung diberikan kepada satu-satunya anak lelaki iaitu Maha Vajiralongkorn. Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn telah berkahwin dan bercerai sebanyak 3 kali dan mempunyai 7 orang anak. Beliau telah putuskan hubungan isteri kedua dan ketiga dengan cara yang kontroversi dan sangat terbuka.
Memetik laporan BBC News, Putera Mahkota Thailand itu dikatakan banyak menghabiskan masa di luar negara, dan hidup dengan bekas pramugari syarikat penerbangan Thailand. Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap rakyat sendiri. Beliau disifatkan rakyat tidak menjaga kebajikan dan tak ambil peduli perihal negara terutamanya ekonomi rakyat di kawasan pedalaman. Sifatnya itu bertentangan sekali dengan tanggungjawab yang pernah digalas ayahnya, Bhumibol.
Kerap bercuti ke luar negara
Sebelum ini, Maha Vajiralongkorn juga dilaporkan pernah membawa bersama 20 orang gundik istana dan 112 petugas khas Diraja. Kesemua mereka telah menginap di sebuah hotel mewah di Grand Hotel Sonnenbichl di Bavaria, Jerman pada Februari lalu. Raja Maha Vajiralongkorn dipercayai memiliki aset sebuah rumah percutian yang mewah berhampiran Lake Starnberg dan beliau dikatakan kerap ke Batavia untuk bercuti, menetap lama di luar negara.
Rakyat mula berani protes
Sikap tidak bertanggungjawab itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Thailand dan juga media. Undang-undang negara itu menetapkan mana-mana individu yang lantang mengkritik Raja Thailand akan dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan menghina sistem monarki dan undang-undang. Meskipun menyedari perkara tersebut, segelintir rakyat Thailand tidak menghiraukan undang-undang tersebut, malah bangkit bertindak lantang menyuarakan kritikan mereka terhadap sistem monarki negara itu.
Terbaru, rakyat Thailand sudah dilihat mula protes dengan mengadakan perhimpunan di hadapan istana. Bukan itu sahaja, ‘Plak Rakyat’ turut dipasang di Padang Sanam Luang bagi mengisytiharkan Thailand adalah milik rakyat.
Memetik laporan The Guardian, Vajiralongkron merupakan pemegang saham terbesar Siam Commercial Bank (SCB) dan rakyat bertindak mengeluarkan kesemua wang mereka daripada simpanan bank tersebut. Perhimpunan rakyat yang berkumpul pada Ahad lalu juga menyaksikan mereka memakai reben putih dan menunjukkan simbol 3 jari sebagai gerakan kepada pro-demokrasi.
Sumber: BBC News, The Guardian, nytimes