Jika sebelum ini rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura akur dengan arahan kerajaan menutup pintu masuk negara selama 14 hari. Terbaru, sekumpulan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan dijangka masuk semula ke tanah air dengan berjalan kaki merentasi tambak Johor.
Menerusi Berita Harian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka mahu pulang semula ke tanah air.
Risau tersadai di negara orang
Terbaru, Singapura telah mengumumkan lockdown selama sebulan dan kesemua syarikat, institusi pengajian mahupun kedai turut diarahkan tutup. Hal ini membuatkan sebilangan besar rakyat Malaysia terpaksa pulang ke tanah air. Bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, mereka dinasihatkan untuk kuarantinkan diri di rumah selama 14 hari. Hal ini adalah kerana kekuarangan fasiliti perubatan yang dialami.
Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di negara tersebut iaitu Nur Hamidah Jamal sebagai pembantu produksi sektor elektrik di Singapura mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Dia turut menyifatkan jangka masa sebulan adalah lama dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk kehilangan pekerjaan.
Kami bimbang kerana sebulan tempoh yang panjang, risau tersadai di negara orang serta berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi di Singapura. Kami memang tidak mampu kerana besar kemungkinan juga hilang kerja lebih masa dan kilang akan ditutup kerana ia bukan dalam sektor perkhidmatan penting yang dikecualikan.
Majikan ada memberitahu, kami tidak diberhentikan kerja tetapi perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Tempoh itu lama dan saya memang rindukan anak serta suami di Johor Bahru.
Berjalan kaki sejauh 1.5 km
Tambahnya lagi, dia akan berjalan kaki ke Johor selepas selesai urusan syarikat dan ke hospital bagi mendapatkan kelulusan kesihatan dirinya. Malah, kemungkinan besar akan kelihatan ramai orang yang bergerak pada sebelah petang kerana cuaca panas. Mereka perlu berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer sambil membawa beg pakaian.
Sebelum ini, walaupun bekerja di Singapura saya akan berulang alik dan bertemu dengan keluarga di Johor. Tetapi kami terpisah apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 17 Mac lalu dan saya menetap di Singapura. Rasanya memang tidak sanggup hendak biarkan suami dan anak menjalani Ramadan sendirian.
Kalau dibenarkan balik, saya akan jalan kaki dari kastam Singapura ke Johor kerana memang tidak ada kenderaan susulan PKP.
Sumber: BH Online, Live Mint