Pelakon, Julia Farhana akui berdepan dengan pelbagai cabaran untuk kekal bertudung semasa dalam fasa penghijrahannya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Julia Farhana Nafi Bela Anjing – ‘Tak Pernah Bermain, Hanya Tumpangkan Tempat Sahaja’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Julia Farhana Sudah 4 Tahun Berhijab, ‘On Off’ Sebab Belum Bersedia
Bukan satu perjalanan mudah
Ketika ditemui OhBulan!, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin berkata gaya hidupnya banyak berubah selepas mengambil keputusan untuk mengenakan hijab selain merasai kesukaran untuk kekal istiqamah.
Setiap hari sangat mencabar, kalau tak ada suami saya, saya tak tahu apa akan jadi kepada saya. Nak istiqamah sangat sukar.
Saya pakai tudung seminggu sebelum puasa. Pada ketika itu dalam fasa iman tengah kuat tapi bila dah habis Ramadan dan raya..kenapa tiba-tiba saya rasa ini sangat susah?
Dalam pada itu, aktres berusia 28 tahun ini juga menzahirkan rasa syukur kerana suaminya iaitu Dr Muhammad Che Hafiz banyak membimbing ke arah kebaikan dan mengajar ilmu agama.
Suami saya adalah pendorong saya yang paling kuat. Dia selalu beri pendedahan tentang iman, kesabaran dan berkat.
Dia sering ingatkan, ‘jauh dah ni, takkan nak patah balik? Teruskan sahaja’. Suami juga akan ajak sama-sama berzikir dan baca Al-Quran.
Julia berkata demikian ketika ditemui di pelancaran produk pakaian jenama Mayang di StarHill, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Isu buka tudung
Sementara itu, pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini mengambil pendekatan untuk tidak menilai mana-mana selebriti atau individu yang bertindak menanggalkan tudung mereka kerana baginya ujian setiap orang adalah berbeza.
Bila kita tengok rakan seperjuangan sudah melalui ujian seperti itu, apatah lagi saya yang masih baru.
Bagi saya memang sangat mencabar tapi saya tak akan menilai sesiapa pun sebab mungkin mereka inilah yang akan kekal selamanya (memakai tudung) apabila mereka sudah bersedia nanti.
Jangan menghakimi perjalanan hidup seseorang, lebih baik kita mendoakan yang baik-baik sahaja.
Kalau dia bukan selebriti, dia nak buka dan pakai semula pun tiada siapa kisah tetapi disebabkan dia seorang selebriti maka tumpuan diberikan kepadanya.
Untuk info, sekitar Mac lalu Julia bertindak memadam gambar-gambarnya yang tidak bertudung di media sosial sebagai tanda dia sudah mula mengenakan hijab.