berita

‘Suasana Macam Asrama, Kami Bergaul Dengan Semua Orang’ – Pesakit Covid-19 Kongsi Rutin Harian Di MAEPS

February 8th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Pastinya tidak ramai yang tahu apakah situasi sebenarnya yang berlaku dalam Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS, Serdang. Ketika dikuarantin, rasa takut merupakan perasaan utama yang ada dalam diri pesakit Covid-19 meskipun mereka bakal menetap bersama golongan yang senasib.

Artikel berkaitan: ‘Covid Ni Buat Demam Tu Rasa 10 Kali Lagi Perit’ – Sembuh Dari Covid-19, Gadis Ini Akui Trauma Nak Keluar Rumah

Artikel berkaitan: Dua Minggu Kuarantin Covid-19 Di Rumah, Hanya Makan Vitamin & Air Tambah Tenaga

Team OHBULAN! berpeluang untuk temu ramah seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 sejak seminggu yang lalu. Pesakit yang dikenali sebagai Amir Aizat ini menceritakan dari awal bagaimana dia dan keluarga dijangkiti wabak tersebut serta rutin harian mereka sepanjang berada di PKRC.

Mula-mula rasa takut

Foto: Amir Aizat bersama keluarganya

Menurut Amir Aizat atau lebih mesra dipanggil Boy, dia merupakan kontak rapat rakan sekerjanya manakala, ibu dan adiknya pula merupakan kontak rapatnya. Dia telah melakukan ujian swab yang pertama di sebuah klinik di Ampang pada 25 Januari yang lalu sebelum mendapati dirinya positif wabak berkenaan. Ibu dan adiknya pula telah melakukan ujian swab di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada masa tersebut. Seperti pesakit Covid-19 yang lain, kesemua mereka mengalami simptom yang sama iaitu demam, batuk, selsema, sesak nafas serta hilang deria bau dan rasa.

Mula-mula tu memang kami semua rasa takut. Sebab dalam otak saya hanya fikir keadaan MAEPS tu sama seperti dalam wad dan semua orang berada dalam keadaan yang kritikal dan memerlukan perhatian petugas barisan hadapan. Demi kebaikan untuk diri sendiri, kami tabah juga untuk pergi sana. Tapi bila sampai sahaja di sana, adik dan mak ditempatkan di dewan yang berasingan. Sama juga dengan saya. Setibanya masuk ke dalam dewan, persepsi saya pada awalnya telahpun bertukar. Ini kerana, suasana di dalam pusat kuarantin itu sangat happening sebab pelbagai lapisan masyarakat berada di situ.  Malah, mereka seolah mengalukan kedatangan pesakit baru dan memberi semangat untuk terus kuat. Saya nampak ada kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas. Pelbagai bangsa pula tu. Semua sambut pesakit baru dengan baik.

Oleh itu, mereka mengambil langkah awal untuk kuarantin di dalam rumah selama tujuh hari sebelum pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar ambulans dan mengambil mereka bertiga untuk dibawa ke MAEPS. Jelas Boy, ayahnya seorang sahaja yang disahkan negatif pada masa tersebut.

Rutin harian ketika kuarantin

Disoal mengenai aktiviti dan rutin harian sepanjang tempoh kuarantin di MAEPS, Boy memberitahu bahawa mereka akan melakukan solat jemaah setiap waktu. Di samping itu, mereka akan bermain ping pong dan carrom sekiranya berasa bosan. Bukan itu sahaja, mereka juga dibenarkan menonton televisyen yang disediakan oleh KKM semasa menjalani kuarantin di situ. Bercerita mengenai soal makanan, Boy memberitahu bahawa pihak KKM menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Setakat ini, dia tidak mendengar sebarang aduan mengenai makanan dan mereka semua sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh petugas barisan hadapan.

Kami juga sempat bertanya kepada Boy, mengenai barang-barang yang dibawa semasa hendak kuarantin di MAEPS. Jelas Boy, pakaian dan barangan keperluan diri merupakan barang yang paling penting untuk dibawa selain ubat-ubatan dan vitamin-c. Ujarnya lagi, KKM akan memberi satu set persalinan sewaktu pesakit tiba di sana. Bercakap mengenai gelang pink, Boy memberitahu kebanyakan pesakit yang kuarantin bersamanya memakai gelang bewarna putih. Ini kerana, mereka merupakan golongan yang tidak bergejala dan mempunyai minor simptom sahaja. Sepanjang beberapa hari di sana, Boy memberitahu dia hanya berhubung dengan ibu dan adiknya menerusi Whatsapp sahaja. Mengenai perkembangan terkini tahap kesihatan mereka bertiga, Boy memberitahu ibunya sudah dibenarkan pulang ke rumah dan dia juga bakal pulang dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Manakala, adiknya masih belum mendapat keputusan kerana perlu berada di bawah pemantauan doktor. Ini kerana, hasil ujian x-ray mendapati ada sesuatu di paru-parunya.

Sebagai pesakit Covid-19, Boy memberi nasihat kepada semua individu di luar sana agar jangan memandang Covid-19 ini sebagai wabak yang biasa. Patuhilah SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dan keluar rumah sekiranya ada urusan penting sahaja. Boy turut memberitahu bahawa setiap individu mempunyai daya tahan yang berbeza. Oleh itu, kita tidak tahu bagaimana wabak ini akan bertindak balas dengan diri kita sekiranya kita disahkan positif.

Sumber: Amir Aizat

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×