
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab dakwaan kononnya dia sudah hilang aura sebagai ahli politik susulan penglibatannya dalam dunia seni dan media sosial.
Artikel Berkaitan: ‘Sekarang Dah Boleh Fikir Nak Ikat Bunga Telur’ – Ibu Syed Saddiq
Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Kepada Tunang Saya Kerana Sentiasa Bersama’ – Ucapan Sorot Perhatian, Netizen Sifatkan Syed Saddiq ‘Green Forest’
Hilang aura ahli politik?
Syed Saddiq, 33, menegaskan dia tidak pernah mengabaikan amanah sebagai wakil rakyat, malah terus komited melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat di kawasan Muar.
Katanya, sepanjang tempoh kira-kira dua tahun lalu, pelbagai bentuk bantuan bernilai lebih RM6.2 juta telah berjaya disalurkan kepada penduduk kawasan tersebut.
Alhamdulillah dalam tempoh masa setahun ke setahun setengah, pelbagai jenis bantuan yang melebihi RM6.2 juta sudah disalurkan kepada masyarakat Muar.
Pada masa yang sama, saya tidak pernah culas bab tanggungjawab. Rekod saya di Parlimen bukan setakat kehadiran 100 peratus di Parlimen, tetapi juga 100 peratus di peringkat jawatankuasa dan pindaan Perlembagaan.
Saya tak nak culas, cuma dalam saya melaksanakan tanggungjawab, saya perlu berfikiran di luar kotak dan saya akan terus menggunakan taktik luar kotak untuk membela rakyat saya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai mendengar keputusan rayuan akhirnya di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengakui enam tahun kebelakangan ini menjadi tempoh yang mencabar dalam perjalanan politiknya.
Hal ini termasuk memaksanya membuat beberapa keputusan besar seperti berundur daripada jawatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan dalam kes yang dihadapinya.
Jelas Syed Saddiq, tindakan itu diambil demi menjaga integriti serta memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan telus tanpa menjejaskan parti yang dipimpinnya ketika itu.
Saya percaya kalau kita ingin membangunkan negara, kita perlu menjadi lebih putih daripada putih (whiter than white).
Sebab itu saya mengambil sedikit langkah ke belakang untuk membuktikan kebenaran di mahkamah, membersihkan nama saya dan kini alhamdulillah saya sudah pun membuktikannya.
Terdahulu, tular satu ciapan di media sosial yang mendakwa Syed Saddiq kini lebih dikenali sebagai selebriti media sosial berbanding seorang ahli politik, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.