Pertelagahan antara Dato’ Seri Vida dan Aishah bertambah parah apabila Aishah memberi tempoh masa seminggu kepada usahawan itu untuk menyelesaikan dua tuntutan. Tuntutan tersebut adalah permohonan maaf dan menggantikan barang kemas senilai dengan harga dicanangkan iaitu berjumlah RM80 ribu.
Vida juga turut mengaku tidak berniat untuk mempermainkan artis yang menyertai pertandingan nyanyian terbitan Astro itu. Malahan dia mengatakan hanya ingin membantu menaikkan martabat ‘artis-artis sendu’.
Diperlukan untuk sokongan modal, tapi..
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Vida itu. Presidennya, Datuk Freddie Fernandez kata-kata sedemikian tidak seharusnya keluar hanya disebabkan perselisihan faham yang tercetus antara Vida dan Aishah.
Individu seperti Datuk Seri Vida yang merupakan usahawan berjaya memang diperlukan oleh dunia hiburan bagi memberi sokongan modal melalui penganjuran acara ataupun rancangan.
Namun bukan bermakna dia boleh melakukan apa saja atau mengeluarkan kata-kata yang bersifat merendah-rendahkan martabat para artis tanah air sebagaimana yang dilafazkan baru-baru ini.
Harap dapat diselesaikan elak ramai pihak terguris
Menurut Freddie lagi, Aishah sebagai orang lama dalam industri banyak berjasa kepada dunia muzik, begitu juga Vida yang disifatkan sebagai usahawan berjaya. Dia berharap isu yang timbul dapat diselesaikan sebaiknya untuk mengelakkan kenyataan beremosi lalu membuatkan ramai pihak terkesan.
Aishah merupakan senior industri yang mempunyai banyak jasanya serta amat dihormati manakala Datuk Seri Vida pula seorang hartawan dan usahawan yang berjaya.
Alangkah indahnya jika isu yang timbul dapat diselesaikan secara kekeluargaan demi mengelakkan dari terkeluarnya pelbagai kenyataan kontroversi yang tidak bersesuaian dan beremosi.
Perbalahan seperti ini akhirnya hanya mengguris hati pelbagai pihak, sekali gus memberi impak negatif kepada diri masing-masing.
Sumber: Malaysiakini