berita

‘Tak Wajar Kita Terus Menjenayahkan Kanabis’ – Yasin Sulaiman

May 18th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Sedang dipenjarakan di Sungai Buloh, penyanyi dan komposer terkenal Yasin Sulaiman memberitahu dirinya berada dalam keadaan sihat.

Yasin sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong terutama Syed Saddiq, Wardina Safiyyah, kumpulan Brothers dan Nurul Izzah.

Artikel Berkaitan: Syed Saddiq Hadir Bagi Sokongan, Sempat Bersemuka Dengan Yasin Sulaiman – ‘Dia Berada Dalam Keadaan Tenang’

Keluarkan kanabis daripada senarai narkotik

Ketika ditemui sejurus keluar daripada Mahkamah Majistret, Yasin, 47, berpendapat bahawa penggunaan kanabis tidak wajar dilihat sebagai satu jenayah di negara ini.

Kata pemilik nama lengkap Muhammad Yasin Sulaiman, dia berharap agar kerajaan mengikut langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.

Harap kerajaan Malaysia akan keluarkan kanabis daripada senarai narkotik sebagaimana yang dilakukan oleh WHO.

Saya rasa tak wajar kita terus menjenayahkan kanabis kerana kanabis adalah untuk tujuan rawatan dan perubatan, bukan dadah semata-mata.

Yasin berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pada Rabu.

Hanya dapat rawatan biasa

Sementara itu, peguam yang mewakili penyanyi lagu Mimpi Laila, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff berkata anak guamnya memberitahu dia hanya mendapat rawatan biasa sahaja.

Oleh sebab itu, pihak beliau telah membuat permohonan agar Yasin dirujuk kepada pakar perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana Bipolar Disorder atau Gangguan Bipolar bukan penyakit biasa.

Saya bercakap dengan Yassin, dia memberitahu dia hanya mendapat rawatan biasa dan kami meminta satu rawatan pakar. Dalam permohonan tersebut kami merujuk kepada HUKM.

Apa yang dihidapi oleh Yasin ini bukanlah sakit biasa. Dan saya rasa sangat wajar perubatan yang sebaiknya diberikan.

Pada 31 Mac, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mengedar dadah, pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM10,700 dan hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja.

Pemeriksaan di dalam bilik pertama menjumpai 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja selain satu pokok tumbuhan sama di balkoni.

Mahkamah menetapkan 22 Jun depan bagi sebutan semula kes.

SKIP THIS AD ×