berita

Tayangan Istimewa Filem Allahyarham Mamat Khalid Di TV9 Mulai 26 Oktober 2021

October 26th, 2021 | by Wan
Filem Tempatan

Industri tanah air kehilangan bintang yang tiada galang ganti, Allahyarham Mohamad Bin Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid pada 24 Oktober 2021 yang lalu. Allahyarham merupakan seorang pengarah filem dan penulis lakon layar yang terkenal dengan filem-filem komedi seram serta sentiasa mempunyai idea-idea unik. Kenangan yang ditinggal buat peminat dipotretkan menerusi naskah hebat. Sebagai tanda penghormatan dan kenangan, TV9 akan menayangkan enam filem arahan Allahyarham Mamat Khalid menerusi slot Kuasa 3 Malam bermula 26 Oktober 2021 hingga 4 November 2021.

Sekuel Filem Rock

Rock

Rock merupakan antara filem arahan Allahyarham Mamat Khalid yang mencetuskan fenomena sehingga beberapa sekuel filem berkenaan dihasilkan demi memenuhi permintaan peminat. Filem Rock yang pertama diterbitkan pada 2005 mengisahkan sekumpulan remaja di era tahun 80-an yang bercita-cita mahu jadi terkenal sebagai kumpulan muzik rock. Zack, seorang pemain gitar dengan rakannya, Jijo yang mahir dalam bass, Black seorang drummer dan Amy sebagai vokalis dalam kumpulan itu. Mereka perlu mengharungi pelbagai ujian dan rintangan demi menggapai impian itu. Rock bakal ditayangkan pada 26 Oktober, jam 9.90 malam.

Rock OO!

Rock OO! Ialah sekuel kepada filem Rock yang mengisahkan perjalanan sebuah band muzik ‘rock kapak’ yang bernama Rimba Bara yang gigih mencipta nama di persada seni tanah air. Amy Mat Piah (Que Haidar), seorang pemuda yang berpegang kepada prinsip bahawa budak kampung moden tidak akan mudah berputus asa dan berjanji akan membawa kembali ahli-ahli Rimba Bara – Jijo (Khir Rahman), Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) dan Mi Black (Azmi Black) untuk beraksi! Saksikan Rock OO! pada 29 Oktober, jam 9.30 malam.

Rock Bro

Sementara itu filem Rock Bro pula bakal ditayangkan pada 30 Oktober, pada waktu yang sama di TV9. Kumpulan band rock, Rimba Bara masih berkecimpung dalam industri muzik yang penuh dengan permainan politik dalaman. Sementara itu, Jijoe bertemu dengan Ratu Rock, Ella di studio rakaman dan terus jatuh cinta dengannya. Demi mengejar cinta Ella, Jijoe sanggup meninggalkan Rimba Rock dan menjadi seorang kontraktor supaya hidupnya lebih stabil. Keputusan Jijoe bakal mengakibatkan perpisahan band Rimba Bara dan konflik mula melanda dalam kalangan ahli kumpulan itu.

Rock 4: Rockers Never Die

Filem terakhir sekuel Rock iaitu Rock 4: Rockers Never Die menceritakan tentang kisah Ronnie James Dio ataupun juga dikenali sebagai Sharwani Aduha Mat Lahad sedarkan diri selepas koma untuk 20 tahun akibat sebuah kemalangan jalan raya. Dio terkenang masa lampau dimana dia terlibat dalam kumpulan Rimba Bara. Oleh itu, Dio membuat keputusan untuk mendirikan band baharu yang dinamakan sebagai Rimba Bara 2. Namun, Dio berhadapan dengan cabaran apabila trend muzik telah berbeza. Adakah Dio dan rakan-rakan baharunya dapat meneruskan legasi Rimba Bara dengan Rimba Bara 2?

Filem hebat lain

Lebuhraya Ke Neraka

Lebuhraya Ke Neraka ialah sebuah filem drama seram yang mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda yang sukakan motosikal berkuasa tinggi dan gemar mengembara merentas desa. Nama kumpulan mereka ialah Rentaz. Ketika dalam satu konvoi ke Betong Siam, mereka telah dibawa ke alam barzakh atau halusinasi dalam alam koma. Apakah kesudahan kepada perjalanan mereka ini? Saksikan Lebuhraya Ke Neraka pada 3 November, pukul 9.30 malam.

Lang Buana

Walaupun diterbikan pada 2003, filem Lang Buana arahan Mamat Khalid tetap menjadi tontonan penggemar filem sehingga ke hari ini. Lang Buana mengisahkan tentang kisah 3 orang hamba iaitu  Gunung, Daik dan Bercabang yang melarikan diri daripada tuan mereka, Orang Kaya Seri Bentan. Ketika melarikab diri, mereka terjumpa sebuah pekan bernama Lang Buana yang terletak di tepi sungai. Penduduk di situ mengalu-alukan kedatangan mereka dengan acara yang meriah sekali. Ketika mereka bertiga hairan dengan sambutan itu, barulah mereka sedar bahwa penduduk Lang Buana telah salah anggap mereka ialah putera-putera yang ditunggu-tunggu. Malahan, mereka juga diharapkan dapat menyelamatkan Lang Buana dari serangan Sang Nira! Lang Buana merupakan filem lakonan kumpulan Senario. Saksikan Lang Buana pada 4 November, pukul 9.30 malam di TV9.

SKIP THIS AD ×