Setiap daripada kita pasti pernah merasa kecewa, sama ada disebabkan hubungan dalam percintaan, persahabatan, kerjaya atau situasi hidup yang tidak seperti yang diharapkan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Dr Zulkifli Kongsi Tentang Azam Tahun Baharu – ‘Orang Yang Tak Ada Cita-Cita, Sebenarnya Dia Sudah Mati’

Artikel Berkaitan: Tiga Jenis Tidur Menurut Islam: Antara Penawar & Penyakit

Yakin Allah sentiasa bersama kita

Kecewa bukan sahaja memberi impak pada emosi, malah boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental. Oleh itu, mencari kaedah yang tepat untuk menenangkan hati ketika dilanda kekecewaan amat penting bagi membantu memulihkan perspektif serta membina kekuatan diri dalam menghadapi cabaran seterusnya.

Ketika hati terasa resah dan tidak tenteram, salah satu cara berkesan untuk menenangkan diri adalah dengan kembali mendekatkan diri kepada Al-Quran. Antara yang disyorkan ialah membaca Surah Yassin selepas setiap solat.

Selain itu, bangun pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat Tahajjud juga dapat menenangkan jiwa. Solat pada waktu tengah malam, bukan sahaja membantu memperkukuh kekuatan rohani, malah memberi ketenteraman dalam menghadapi cabaran hidup.

Amalan lain yang berkesan untuk menenangkan hati ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan zikir. Amalan ini bukan sekadar diulang dengan mulut, tetapi harus sampai menusuk hati, dirasai dengan penuh kesedaran.

Sekiranya hati benar-benar menghayati zikir dan pengakuan dosa melalui istighfar, jiwa akan menjadi lebih tenang dan dekat dengan Allah, sekaligus membantu mengurangkan rasa resah dan gelisah.

Satu lagi langkah yang boleh membantu menenangkan hati ialah dengan mengelakkan mendengar lagu yang bertemakan kekecewaan atau putus cinta. Amalan ini amat penting terutama bagi mereka yang baru sahaja mengalami perpisahan atau kekecewaan emosi.

Akhir sekali, sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan dan Yakini sepenuh hati bahawa Allah Maha Mengetahui dan sentiasa bersama kita, tidak kira apa jua ujian atau kesedihan yang dihadapi.

Sumber: Aku Islam